Lim Hui Ying pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan negara terus menjadi fokus kerajaan apabila sasaran kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita ditetapkan pada 60 peratus menjelang 2033, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, ia selaras hala tuju Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030.

Jelas beliau, ketika ini, KPTB wanita di peringkat nasional berada pada 56.9 peratus, manakala Pulau Pinang mencatat kadar lebih tinggi iaitu 57.6 peratus pada 2024.

“Peningkatan berkenaan menunjukkan perkembangan positif penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan, sejajar dengan peranan Pulau Pinang sebagai hab industri, teknologi, pendidikan dan ekonomi kreatif.

“Walaupun jurang ke arah sasaran 60 peratus kelihatan kecil, ia bukan sesuatu yang mudah dicapai. Banyak usaha perlu diteruskan dan diperkukuhkan melalui kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta serta komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Datuk Faridah Awang.

Tambah Hui Ying, wanita merangkumi hampir 49 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Pulau Pinang dan mempunyai potensi besar sebagai modal insan dalam menyokong agenda pembangunan negeri.

Katanya, kemajuan ekonomi dan sosial negara tidak akan dapat direalisasikan tanpa penglibatan aktif golongan wanita, yang kini bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, malah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut menekankan kepentingan peranan wanita dalam memacu ekonomi jingga, khususnya dalam industri kreatif, digital serta berasaskan komuniti yang menyumbang kepada nilai ekonomi, identiti budaya dan kelestarian sosial.

“Bagi meningkatkan lagi penglibatan wanita dalam pasaran kerja, katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada program latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula, terutama bagi menggalakkan golongan suri rumah kembali bekerja.

“Usaha ini akan digerakkan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Wanita di setiap negeri serta pengukuhan sektor ekonomi penjagaan bagi menyokong penyertaan wanita secara lebih menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast