MUAR – Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di ladang kelapa sawit dan nanas seluas 38.4 hektar bersamaan 54 padang bola sepak di Bukit Naning, Ayer Hitam di sini sejak sejak Sabtu lalu berdepan cabaran apabila berlaku satu letupan kuat di satu sektor kebakaran petang semalam.
Letupan kira-kira 6.30 petang itu bukan sahaja mengejutkan pasukan bomba malah dilaporkan boleh didengar sehingga jarak kira-kira tiga kilometer dari pusat kawalan operasi bencana (PKOB) yang dibuka sejak hari pertama kebakaran Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan letupan namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Benar berlaku letupan, bagaimanapun kita belum dapat disahkan punca letupan kerana jarak penglihatan kawasan kebakaran yang terhad menyebabkan unit bom tidak boleh masuk ke sektor terbabit.
“Siastan lanjut masih dijalankan,” katanya ringkas di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir berkata, letupan di sektor D itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa ekoran anggotanya sudah berada di luar kawasan berkenaan.

“Susulan kejadian letupan itu, pihak bomba tidak dibenarkan memasuki sektor D sehingga siasatan dijalankan dan kawasan tersebut disahkan selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti punca letupan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas mengenai operasi pemadaman memasuki hari kelima, Siti Rohani berkata, kawasan kebakaran seluas 95 ekar itu (38.4 hektar) operasi dibahagikan kepada empat sektor iaitu A, B, C dan D.
“Sektor B berjaya dipadam sepenuhnya manakala sektor A dan C mencatatkan kira-kira 95 peratus pemadaman namun satu tompok kebakaran baharu dikesan di sektor D iaitu kawasan berlakunya letupan semalam.
“Faktor cuaca panas, kering berpanjangan serta angin kuat dikenal pasti menyebabkan api merebak dengan pantas.
“Setakat ini jarak kawasan kebakaran dengan penempatan penduduk adalah kira-kira tiga kilometer, jadi tiada ancaman langsung terhadap keselamatan penduduk namun kesan kepada kualiti udara sentiasa dipantau,” katanya.
Tambahnya, JBPM turut mempertimbangkan penggunaan pemadaman udara menggunakan helikopter bagi menangani kebakaran di sektor berisiko tinggi tertakluk kepada kelulusan dan jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















