KUALA LUMPUR – Pelabuhan Bintulu kini berada peringkat akhir untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dengan nilai pengambilalihan sebanyak RM1.8 bilion telah dipersetujui secara prinsip.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini, pelabuhan tersebut masih berstatus sebagai Pelabuhan Persekutuan dan berada di bawah kawal selia Lembaga Pelabuhan Bintulu.
“Pelabuhan Bintulu masih berada di bawah kawal selia Persekutuan sehingga Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dikuatkuasakan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (Sibu-PH) mengenai status semasa pelabuhan itu serta jumlah bayaran yang perlu dibuat oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Menurut Anthony, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak kini berada di peringkat terakhir proses penyerahan pengurusan pelabuhan tersebut.
Katanya, satu Jawatankuasa Teknikal bersama telah ditubuhkan bagi memperhalusi aspek perundangan bagi memastikan semua obligasi kedua-dua pihak dipenuhi sebelum tarikh kuat kuasa akta ditetapkan.
“Jawatankuasa ini sedang memperincikan perkara berkaitan undang-undang supaya semua tanggungjawab kedua-dua pihak dapat disempurnakan sebelum pelabuhan ini diserahkan sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah menetapkan nilai serta kaedah bayaran bagi tujuan pengambilalihan pelabuhan tersebut.
“Bagaimanapun, pengesahan terakhir masih ditunggu daripada Kerajaan Negeri Sarawak. Secara prinsipnya, kedua-dua pihak telah bersetuju dengan nilai RM1.8 bilion,” katanya.
Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri dijangka membolehkan Sarawak mengawal selia dan mengurus tadbir pelabuhan itu sepenuhnya, memperkukuh peranannya sebagai antara hab logistik utama di Malaysia Timur. – MalaysiaGazette















