Keadaaan motosikal seorang tukang gunting rambut yang maut selepas merempuh sebuah MPV yang membelok di Jalan Merlimau–Batu Gajah, Jasin, tengah hari tadi.

JASIN – Seorang tukang gunting rambut maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membelok di Jalan Merlimau–Batu Gajah, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika tukang gunting rambut berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC sedang bergerak lurus dari arah Merlimau menghala ke Batu Gajah.

“Pada masa sama, sebuah MPV jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah bertentangan dipercayai ingin membelok ke kanan sebelum berlaku perlanggaran dengan motosikal mangsa.

”Nahas itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Pemandu MPV yang bekerja sebagai tukang masak tidak mengalami kecederaan serius dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast