KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam cubaan menyamun seorang wanita hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di sebuah pam minyak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa cedera selepas dipukul suspek yang tidak dikenali.
Menurutnya, laporan dibuat oleh mangsa, seorang wanita berbangsa India pada pukul 8.30 pagi hari kejadian dan insiden berlaku sejam sebelum itu ketika mangsa bersama rakannya sedang mengisi angin tayar pada kenderaan.
“Seorang lelaki disyaki menaiki sebuah motosikal telah menghampiri kenderaan mangsa dan cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg milik mangsa yang diletakkan di dalam kenderaan berkenaan.
“Mangsa dan rakannya bertindak menghalang suspek daripada membuka pintu kereta menyebabkan berlaku pergelutan. Dalam kejadian itu, mangsa telah ditumbuk pada bahagian tangan dan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal tanpa sempat melarikan sebarang barang berharga atau wang tunai.
Chan Hook berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amar dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.
Beliau menambah, risikan masih giat dijalankan memandangkan motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Lakaran fotofit suspek, seorang lelaki Melayu, telah disiapkan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang dijalankan. Tindakan tangkapan akan dibuat sebaik suspek dikenal pasti,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















