Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Rundingan yang dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin parti lain tidak melanggar disiplin parti kerana ia selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, rundingan tersebut berbeza dengan tindakan mana-mana Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau Timbalan Presiden yang mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti lain kerana mereka tidak mempunyai mandat.

Ketua Penerangan Bersatu itu menambah, Fasal 15.2.1 perlembagaan parti memperuntukkan bahawa Presiden ialah pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjaga keseluruhan perjalanan pengurusan, pentadbiran dan dasar parti.

Jelasnya, peruntukan tersebut memberikan Presiden kuasa eksekutif dan representasi politik secara semula jadi (inherent authority), termasuk berunding dengan Presiden parti lain tanpa memerlukan mandat awal MPT.

“Di bawah Perlembagaan Bersatu, kuasa eksekutif parti terletak pada Presiden, bukan secara kolektif pada Ahli MPT atau Timbalan Presiden,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Ahli MPT atau Timbalan Presiden tidak mempunyai kuasa eksekutif bebas untuk mewakili parti dalam rundingan antara parti tanpa mandat yang jelas.

Mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan pertemuan dan rundingan dengan pemimpin Bersatu serta Pas, Tun Faisal mempersoalkan identiti wakil Bersatu yang terlibat.

Menurut Tun Faisal, dari sudut disiplin parti, tindakan sedemikian boleh ditafsir sebagai melangkaui bidang kuasa (ultra vires) dan berpotensi dianggap sebagai pengkhianatan terhadap parti serta institusi Presiden.

Katanya, rundingan berkenaan dilakukan tanpa mandat, tambahan pula ia melibatkan rundingan dengan pihak luar dan berisiko melemahkan autoriti serta kestabilan parti.

Bulan lalu, Ahmad Zahid mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas dan Bersatu serta beberapa tokoh politik Melayu lain berhubung idea penyatuan orang Melayu, namun menegaskan pertemuan itu tidak melibatkan sebarang keputusan muktamad dan tidak bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast