Ketua Polis Selangor, CP Datuk Pahlawan Shazeli Kahar menunjukkan barang rampasan kejayaan tangkapan sindiket penipuan atas talian "Call Center" di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 FEBRUARI 2026.

SHAH ALAM – Sindiket penipuan pelaburan saham secara dalam talian tumpas selepas sembilan ahlinya ditahan pihak polis di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira 9.15 malam.

“Kesemua sembilan individu warga asing yang ditangkap berumur di antara 27 hingga 35 tahun.

“Hasil tangkapan itu, pihak polis telah merampas sebanyak sembilan komputer riba, 21 telefon bimbit, satu modem dan satu router yang bernilai kira-kira RM35,000,” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.

Ketua Polis Selangor, CP Datuk Pahlawan Shazeli Kahar bercakap pada sidang media berkenaan berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 FEBRUARI 2026.

Kesemua sembilan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 27 Januari hingga 2 Februari lalu.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan menipu) dan Seksyen 120b Kanun Keseksaan (bagi kesalahan pakat jahat jenayah).

“Semakan rekod jenayah mendapati kesemua warga asing itu tidak mempunyai sebarang rekod dan bebas daripada ujian saringan air kencing,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak November 2025 dengan menyasarkan warganegara China sebagai mangsa.

“Kesemua tangkapan berperanan sebagai operator bagi mempromosi dan mencari pelabur melalui aplikasi Telegram dan juga aplikasi TRS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast