Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengucapkan kalimah Alhamdulillah (yang bermaksud segala puji bagi Allah) dan sujud syukur mencetuskan perdebatan di Dewan Rakyat apabila perbuatan itu ditegur Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan itu ketika mencelah sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian berkenaan.

Jelas beliau, penggunaan kalimah yang lazim diucapkan umat Islam boleh mengelirukan masyarakat bukan Islam serta dianggap menyentuh kesucian agama.

“Dalam penggulungan, YB banyak guna kalimah orang Islam seperti sujud syukur, Alhamdulillah, bersyukur. Adakah YB beriman? Adakah percaya kepada Allah? Kami tak mahu kalimah ini dipermainkan.

“Ini juga seolah-olah menyentuh isu 3R yang kami diminta jaga. Kami tak mahu ia mengelirukan orang bukan Islam. Kalau YB orang Islam, saya tak kisah,” tegasnya.

Mengulas teguran itu, Kor Ming meminta Siti Zailah supaya bertenang dan tidak terlalu emosional dalam membangkitkan perkara berkenaan.

“Jangan emosi, kita rasionalisasi. YB kad pengenalan 03, saya pun 03. Saya juga anak Kelantan. Kita anak Malaysia, kita hormati Islam sebagai agama Persekutuan. Mana ada dipermainkan.

“Itu tuduhan kurang elok. Dalam kerangka Madani pun ada nilai hormat dan ehsan,” ujarnya sambil senyum.

Beliau turut menjelaskan perkataan Alhamdulillah dan Insya-Allah merupakan istilah Arab yang membawa maksud kesyukuran serta kebergantungan kepada Tuhan.

“Alhamdulillah itu perkataan Arab. Insya-Allah bermaksud ‘if God willing’. Ini menunjukkan saya bersyukur,” katanya lagi.

Kor Ming turut berharap isu tersebut tidak diperbesarkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, tampil mempertahankan Kor Ming dan menyifatkan penggunaan kalimah berkenaan sebagai sesuatu yang positif.

“Sebagai orang Islam, saya berbesar hati apabila YB mampu mengucapkan kalimah yang sering digunakan masyarakat Islam.

“Di negara Arab, perkataan seperti ini biasa digunakan tanpa mengira agama. Saya bangga dan doakan YB diberi hidayah oleh Allah SWT,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Setuju dan mmg kena tegur. Sebab kadang-kadang tujuan sesetengah pihak non-muslim guna semata mata nak raih perhatian, keuntungan politik dan menjadi alat populariti semata-mata. Kalimah ini ada nama Tuhan kita, bukan untuk jadi alat kepentingan sesetengah yang lain.
    Andaikata ditakdirkan kelak mereka menjadi majoriti dan menjadi gomen, jangan kata diorang nak sebut, kita Muslim nak sebut pun boleh jd kena banned dlm mana mana acara rasmi.
    Sekadar pendapat.

Comments are closed.