KUALA LANGAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya memadamkan 10 ekar lagi kawasan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dekat Sungai Kelambu di sini hari ini.
Penolong pengarahnya, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, operasi pemadaman hari ketiga yang bermula 8.30 pagi bagaimanapun dihentikan selepas kebakaran berjaya dihentikan 10 pagi tadi.
“Bagaimanapun sembilan dari 56 ekar HSKLS yang terjejas dalam kebakaran itu masih aktif namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran dan loji rawatan air (LRA) berdekatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan kira-kira empat hektar kawasan hutan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kelambu, Banting dekat sini terbakar kira-kira 12 tengah hari.
Pegawai Operasi JBPM Selangor, Hamdan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.43 tengah hari sebelum seorang pegawai dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera.
Ahmad Mukhlis berkata, seramai dua pegawai dan 10 anggota JBPM serta 23 anggota dari lain-lain agensi ditugaskan dalam kerja-kerja pemadaman pada hari ketiga operasi.
“Antaranya PANTAS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Jabatan Perhutanan dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).
“Kerja-kerja pemadaman itu diketuai Komander Operasi, Arul Cshelvan Chalaya dan turut dihadiri Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md Pono dan Penguasa Bomba KB9, Qalam Abdul Halim,” katanya.
Ahmad Mukhlis juga berkata, JBPM Selangor turut menggerakkan dua unit dron bagi memudahkan pemantauan dan mengenal pasti titik panas kawasan terjejas.
“Unit dron bomba digerakkan dalam operasi hari ketiga hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















