MELAKA – Asap tebal yang dapat dilihat dari jarak 10 kilometer akibat kebakaran belukar berpunca daripada api longgokan kayu dan tayar terpakai di Kota Syahbandar di sini mencetuskan fenomena luar biasa di kawasan tambak laut itu.
Kebakaran berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi, tular di media sosial apabila asap dari lokasi kejadian di Jalan KSB Impression 8 yang terletak 4.5 kilometer dari pusat bandar Melaka itu jelas kelihatan dari Kampung Bukit Godek, Duyong, sejauh 10 kilometer.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.28 tengah hari.

“Kebakaran dipercayai bermula dari longgokan kayu dan tayar terpakai di situ menyebabkan api merebak ke kawasan belukar berhampiran dengan keluasan dianggarkan 3.2 hektar.
“Tiada mangsa terlibat dan operasi pemadaman melibatkan tiga jentera bomba (FRT) dan dua lori tangki air dengan kekuatan keseluruhan 26 anggota,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, BBP Bukit Katil, BBP Tangga Batu dan BBP Padang Temu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.59 petang.
“Pihak bomba turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan kawalan keselamatan dan setakat setakat jam 6 petang tadi operasi pemadaman masih dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette
















