Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengumumkan pelantikan Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang baharu.

Sebelum ini, beliau adalah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik).

Pelantikan beliau bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 3 Februari 2026 hingga 2 Februari 2028 menggantikan Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani berkata, pelantikan Dr. Ikmar Nizam, 48, diyakini mampu memperkukuh agenda penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu universiti, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara serta hala tuju strategik USIM.

“USIM yakin pengalaman luas Dr. Ikmar dalam penyelidikan berimpak tinggi, inovasi hijau dan tadbir urus akademik akan memperkasa ekosistem penyelidikan universiti, khususnya dalam mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle Brickfields (1), Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur sehingga Tingkatan 3.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Pahang selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau diterima masuk ke Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM), yang mengukuhkan asas saintifik dan analitikal beliau.

Beliau seterusnya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan pengkhususan Komputasi dan Elektronik di Universiti Malaya pada tahun 2002, sebelum melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bahan lanjutan di universiti yang sama.

Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, selain turut berkhidmat sebagai Ahli Senat Universiti, serta dilantik sebagai Dekan Fakulti Sains dan Teknologi pada tahun 2023.

Dr. Ikmar Nizam diiktiraf sebagai pakar dalam bahan biopolimer konduktif dan teknologi simpanan tenaga hijau, dengan penyelidikan tertumpu kepada pembangunan elektrolit polimer pepejal berasaskan sumber semula jadi seperti selulosa dan chitosan, sejajar dengan matlamat kelestarian global.

Sehingga kini, beliau telah mengetuai dan terlibat dalam lebih 30 projek penyelidikan bernilai melebihi RM5 juta, selain menghasilkan lebih 120 penerbitan jurnal antarabangsa berindeks dan lebih 80 prosiding persidangan, termasuk dalam jurnal berimpak tinggi seperti Scientific Reports terbitan Nature Publishing Group.

Beliau turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah nasional dan antarabangsa, antaranya International Invention of the Year (Double Gold) di British Invention Show, London, dua World Inventor Awards daripada Korean Invention News (KINEWS), serta anugerah khas daripada WIPA dan KINEWS International Invention Fair.

Secara keseluruhan, beliau telah meraih lebih 60 pingat dan anugerah inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebagai pendidik dan mentor, beliau telah membimbing 13 pelajar PhD dan lebih 20 pelajar Sarjana, dengan ramai graduan di bawah seliaan beliau menerima anugerah universiti berprestij.

Beliau juga merupakan Professional Technologist (P.Tech) dan Graduate Technologist (G.Tech) berdaftar dengan Malaysian Board of Technologists (MBOT), selain aktif dalam beberapa persatuan profesional termasuk FISCA, MASS, MIMM dan SPIE, serta sering dijemput sebagai penceramah dan panel penilai di peringkat antarabangsa.

USIM berkata, peantikan Dr. Ikmar diyakin memperkukuh kedudukan USIM sebagai universiti Islam bertaraf global, berteraskan integriti akademik, inovasi lestari dan kecemerlangan ilmu demi kesejahteraan umat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast