MELAKA – Dua beranak ditahan polis selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun wang tunai seorang lelaki warga Bangladesh berjumlah RM720 ketika mangsa sedang mengayuh basikal 1 Februari lalu.
Bapa dan anak lelakinya masing-masing berusia 51 dan 25 tahun ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kedua-dua suspek dicekup di dua lokasi berasingan di kawasan perindustrian ringan Telok Mas serta pondok berhampiran Masjid Al-Alami, Air Keroh pada 1 dan 2 Februari lalu.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes menyamar sebagai anggota polis dan melarikan wang tunai RM720 milik lelaki warga Bangladesh yang sedang mengayuh basikal ketika kejadian.
“Suspek bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak sebagai operator kilang kemudian berpura-pura memeriksa beg sandang warga asing itu sebelum melarikan wang tunai di dalamnya,” katanya.
Tambahnya, dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan satu kes samun yang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta satu kesalahan di bawah Seksyen 170 kanun sama.
“Semakan rekod jenayah mendapati suspek bapa mempunyai tiga rekod berkaitan kesalahan rogol, samun dan tipu, manakala anaknya memiliki rekod kes menyamar sebagai polis dan samun.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek bagaimanapun mendapati negatif dadah,” katanya.
Tambahnnya, suspek dijangka akan dituduh di Mahkamah Majistret Air Keroh di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















