KUALA LUMPUR – Keempat-empat presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) mengesahkan kehadiran mereka dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) bagi memilih pengerusi baharu gabungan itu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua presiden parti telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan yang dijangka diadakan selepas 19 Februari ini.
“Saya sudah hubungi semua presiden parti di bawah PN, empat presiden menyatakan semua boleh hadir, tiada yang berkecuali.
“Jemputan untuk menghadiri mesyuarat itu dihantar kepada semua presiden dua hari lepas dan sebahagian mereka telah memberikan tarikh yang sesuai,” katanya di Pusat Media Parlimen selepas sesi Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Takiyuddin,, seorang daripada presiden parti meminta supaya mesyuarat tidak diadakan lebih awal daripada 19 Februari ini berikutan bermulanya bulan Ramadan manakala yang lain masih belum mengemukakan cadangan tarikh.
Takiyuddin berkata, walaupun tarikh muktamad masih belum ditetapkan, pihaknya berharap mesyuarat itu dapat diadakan sebelum akhir bulan ini bagi mempercepatkan proses pemilihan kepimpinan baharu.
Beliau turut menegaskan, jawatan Pengerusi PN yang dikosongkan sebelum ini akan ditentukan melalui perbincangan bersama semua parti komponen dan bukan secara unilateral oleh mana-mana pihak.
“Keputusan akan dibuat secara bersama dalam gabungan. Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat MT,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata, pengerusi baharu PN berkemungkinan dipilih daripada kalangan pemimpin tertinggi atau kanan Pas.
Jawatan Pengerusi PN menjadi kosong selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Peletakan jawatan itu kemudiannya disusuli pengunduran Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa ketua negeri daripada Bersatu.
Susulan perkembangan tersebut, Pas menyatakan kesediaan untuk menerajui gabungan berkenaan, dengan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa supaya satu mesyuarat MT PN diadakan bagi membincangkan hala tuju kepimpinan.
Dalam masa sama, pelbagai spekulasi turut timbul mengenai calon yang bakal menerajui gabungan itu, termasuk membabitkan Abdul Hadi serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Samsuri Moktar.
Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan, semua spekulasi itu hanya akan terjawab selepas mesyuarat MT diadakan dan keputusan dibuat secara rasmi.
“Kita tunggu mesyuarat. Semua perkara berkaitan kepimpinan akan dibincangkan di situ,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran penuh semua presiden parti komponen menunjukkan komitmen PN untuk menyelesaikan isu kepimpinan secara teratur dan berlandaskan muafakat dalam gabungan. -MalaysiaGazette















