Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 5 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 telah menggariskan lima keutamaan selaras dengan aspirasi kerajaan melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia melibatkan pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi, peralihan tenaga mampan, reformasi kesihatan dan perumahan, pengukuhan perdagangan serta pelaburan dan persediaan tenaga kerja masa hadapan.

“FEM memainkan peranan dengan membawa pemegang kepentingan bersama untuk menjana penyelesaian berasaskan bukti yang boleh diterjemahkan ke dalam tindakan cadangan untuk perancangan negara.

“RMK13 akan mencorakkan pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi lima tahun akan datang, menyediakan peta jalan yang jelas untuk infrastruktur, modal insan, inovasi, kemajuan industri dan kemampanan,” katanya dalam ucapan pembukaan FEM 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 5 FEBRUARI 2026.

FEM 2026 yang bertemakan ‘Mempercepatkan Pertumbuhan, Memajukan Malaysia’ itu menjadi platform penting untuk menterjemahkan perbincangan kepada dasar dan tindakan konkrit.

Tahun ini, forum itu menerima hampir 5,000 pendaftaran termasuk pelabur institusi yang menguruskan aset bernilai AS$7.3 trilion serta syarikat dengan pasaran permodalan keseluruhan sebanyak AS$226 bilion.

Mengulas lanjut, Akmal memberitahu, FEM 2026 lebih daripada perbincangan di mana ia berperanan sebagai mekanisme kritikal untuk membentuk dasar, membimbing pelaburan dan mengutamakan inisiatif yang akan memacu pertumbuhan mampan, pembangunan inklusif dan kemakmuran jangka panjang untuk negara.

Kata beliau, bagi pelabur pula, forum tersebut menandakan keseriusan dasar, pelaksanaan kredibiliti dan penyelarasan institusi.

“Bagi orang ramai, kejayaan adalah diukur melalui penambahbaikan ketara termasuk penciptaan pekerjaan, pertumbuhan pendapatan, mengurangkan jurang serantau meningkatkan perkhidmatan awam dan kemajuan kos sara hidup, perumahan, peralihan tenaga serta produktiviti.

“Di peringkat kebangsaan, pelaksanaan sistem MyRMK di bawah RMK13 bagi membolehkan pemantauan masa nyata berasaskan hasil dengan setiap satu projek diberi pemilikan yang jelas, garis masa, belanjawan dan petunjuk prestasi utama (KPI).

“FEM juga mempercepatkan penyampaian melalui penelitian terbuka, dipacu data terhadap kemajuan dasar meletakkan forum sebagai ‘kad laporan’ nasional mengenai pelaksanaan prestasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast