JOHOR BAHRU – Tindakan pihak menggantung kain rentang aktiviti ajaran sesat Ahmadi Religion di beberapa lokasi di Muar bulan lalu bertujuan mahu menyebarkan semula ajaran yang sudah difatwakan sesat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid percaya pihak terbabit mahu melihat tindak balas penguat kuasa terutama reaksi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Pihak berkuasa JAINJ sudah mengambil tindakan segera menurunkan kain rentang dan banting yang dipasang. Saya percaya mereka cuba menghidupkan semula ajaran itu (namun) tidak ada kebimbangan ia aktif atau besar (kembali berpengaruh).
“Saya percaya pihak (pengawal ajaran) sesat ini mahu menunjukkan dia betul dan mahu menyebarkan semula (ajaran atau fahaman mereka),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.
Sebelum itu, tular foto memaparkan kain rentang ajaran Ahmadi Religion memaparkan aktiviti mereka yang dipasang di beberapa lokasi di Muar.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, satu tangkapan melibatkan kes ajaran Ahmadi Religion sudah dituduh di mahkamah pada tahun lalu dan individu terbabit sudah mengaku salah dan dipenjarakan setahun.
Sementara awal tahun ini, katanya, ajaran berkenaan dikesan cuba diaktifkan semula apabila kain rentang dipasang di Muar tetapi langkah segera diambil JAINJ.
Kegiatan kumpulan ajaran sesat tersebut katanya, sentiasa dipantau JAINJ termasuk jika cuba disebarkan menerusi media sosial.- MalaysiaGazette
















