BUTTERWORTH – Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan ibu tunggal di Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini didapati positif dadah jenis ketamin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, ia hasil saringan air kencing yang dibuat terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 45 tahun termasuk seorang etnik Rohingya yang ditahan bagi membantu siasatan kes.
“Kesemua mereka ditahan di sekitar Bukit Mertajam dan Kubang Semang dekat sini, dalam tempoh kurang 24 jam laporan kejadian diterima.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut berhubung kejadian, Azizee berkata, anggota polis dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan terdapat seorang wanita ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam rumah pukul 1.40 tengah hari, semalam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang wanita India berumur dalam lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pemandu van sekolah.
“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman ditalian: 04 576 2222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, polis mendapat perintah reman terhadap tiga lelaki termasuk masuk suspek utama bagi membantu siasatan pembunuhan seorang ibu tunggal.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















