KUALA LUMPUR – Kerajaan terus memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja gig, kontrak dan separuh masa yang sebelum ini terpinggir, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata, antara langkah utama ialah penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang menyediakan rangka kerja perundangan bagi melindungi hak minimum golongan pekerja berkenaan, termasuk aspek upah, keselamatan pekerjaan dan akses kepada mekanisme aduan.
Menurutnya, selaras dengan akta itu, Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan sebagai platform libat urus antara kerajaan, wakil pekerja gig dan entiti kontrak bagi membincangkan kadar pendapatan minimum serta standard perlindungan yang akan diguna pakai.
“Majlis ini akan menasihati kerajaan mengenai formula pendapatan, standard minimum serta perkara berkaitan kebajikan pekerja gig,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai inisiatif terbaharu kerajaan dalam memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja tidak tetap.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, kerajaan turut memperluaskan liputan perlindungan sosial melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dengan memperkenalkan Skim LINDUNG 24 Jam.
Katanya, skim itu menyediakan perlindungan menyeluruh sepanjang tempoh penggajian, termasuk kemalangan di luar waktu kerja yang tidak berkait secara langsung dengan tugas.
“Antara manfaat disediakan ialah faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat serta pemulihan dan pendidikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramanan memaklumkan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) turut ditambah baik melalui peningkatan elaun pencari kerja dan latihan kemahiran, selain pengenalan Elaun Mobiliti RM1,000 di bawah skim LINDUNG Kerjaya.
Menurutnya, elaun itu diberikan kepada individu yang menerima tawaran kerja melebihi 100 kilometer dari tempat tinggal asal bagi menggalakkan mobiliti tenaga kerja serta meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.
“Kita mahu memastikan pencari kerja tidak menolak peluang hanya kerana faktor jarak dan kos perpindahan,” katanya.
Beliau turut berkata kementerian melalui PERKESO sedang meneliti penambahbaikan skim LINDUNG Kendiri, termasuk kajian kebolehlaksanaan Skim Keilatan dan Skim Pengembara bagi pekerja rentas sempadan.
Kajian itu, katanya, melibatkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura dan memerlukan perlindungan lebih sistematik.
Bagi menyokong usaha berkenaan, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM100 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi pembiayaan latihan kemahiran dan pengukuhan jaringan perlindungan sosial pekerja gig.
Ramanan berkata, peruntukan itu bertujuan meningkatkan tahap kemahiran, daya saing dan perlindungan golongan berkenaan supaya mereka tidak terus terdedah kepada risiko pekerjaan tanpa sokongan mencukupi.
“Kerajaan komited memastikan tiada pekerja yang tercicir daripada sistem perlindungan sosial negara, termasuk mereka yang bekerja secara fleksibel dan tidak tetap,” katanya. -MalaysiaGazette















