Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperhebat promosi digital dan kerjasama strategik antarabangsa bagi memastikan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) memberi pulangan maksimum kepada negara.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pendekatan itu termasuk penggunaan pempengaruh global, platform media sosial utama serta potensi kerjasama dengan syarikat antarabangsa bagi meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat dunia.

“Pada 2025, Tourism Malaysia bekerjasama dengan 100 pempengaruh dari 19 negara dan menjana 1.8 bilion tontonan digital.

“Tahun ini, kita akan libatkan 210 pempengaruh dengan gabungan lebih 800 juta pengikut bagi memperkukuh VM2026,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat petang ini.

Katanya, kempen digital itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan platform seperti TikTok, Weibo, Xiaohongshu dan YouTube, selain sokongan pemain industri antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya sedang meneliti cadangan kerjasama strategik bersama pihak swasta, termasuk Netflix dan Telekom Malaysia, bagi menghasilkan kandungan promosi berimpak tinggi untuk pasaran global.

“Tourism Malaysia akan mengadakan libat urus dengan pihak berkaitan bagi meneliti terma rujukan serta potensi nilai tambah kepada usaha promosi negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan prasarana pelancongan di peringkat tempatan perlu diselaraskan dengan kerajaan negeri sebelum dikemukakan kepada MOTAC dan Kementerian Ekonomi untuk kelulusan.

“Semua cadangan berkaitan jalan, kemudahan asas, liputan komunikasi dan kemudahan awam perlu melalui perbincangan di peringkat negeri terlebih dahulu,” ujarnya.

Bagi menyokong usahawan muda, King Sing berkata, MOTAC menyediakan pelbagai geran termasuk Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi menggalakkan penganjuran acara pelancongan dan seni budaya.

Menyentuh isu keselamatan di Sabah, khususnya Kudat, beliau berkata, kementerian sedang mempergiat misi galakan pelancongan bagi meyakinkan pemain industri antarabangsa bahawa kawasan itu selamat dikunjungi.

“Isu notis nasihat perjalanan juga telah dibangkitkan dalam Jemaah Menteri. Saya memohon kerjasama Menteri Luar untuk berunding dengan negara terlibat supaya notis itu dapat ditarik balik,” katanya.

Dalam usaha memperluas manfaat ekonomi ke luar bandar, katanya, MOTAC memperkasa Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) melalui latihan, pembangunan pakej dan bantuan keselamatan pelancong.

Selain itu, beliau berkata kos latihan pemandu pelancong akan dikurangkan melalui pendekatan menghantar tenaga pengajar terus ke lokasi yang mempunyai bilangan peserta tinggi.

“Pendekatan ini membolehkan penduduk tempatan mendapat manfaat segera tanpa perlu menunggu pembinaan pusat latihan fizikal,” katanya.

Mengakhiri ucapan, King Sing menyeru semua ahli Parlimen agar bersama-sama menyokong agenda pelancongan negara dan memastikan VM2026 menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang inklusif. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast