KUALA LUMPUR – Perjuangan membantah pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran tidak seharusnya disalah tafsir sebagai isu agama sebaliknya dilihat sebagai usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang merupakan asas kepada keharmonian masyarakat majmuk.
Justeru sebarang pelanggaran tidak boleh dipertahankan atas alasan sentimen keagamaan.
“Perjuangan menentang rumah ibadat yang dibina secara haram adalah perjuangan menegakkan kedaulatan undang-undang. Mempertahankan rumah ibadat haram bererti mempertahankan pencerobohan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan isu rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kelulusan kembali menjadi perhatian awam termasuk polemik berkaitan sebuah kuil di Petaling Jaya yang didakwa didirikan di atas tanah persendirian tanpa kebenaran pemilik.
Kes tersebut mencetuskan perdebatan mengenai hak pemilikan tanah, kebebasan beragama dan penguatkuasaan undang-undang.
Isu rumah ibadat di lokasi bandar seperti Petaling Jaya bukan perkara baharu, dengan konflik berkaitan status tanah dan pemindahan tapak pernah berlaku sebelum ini sekali gus menjadikan topik tersebut sensitif dari sudut hubungan antara kaum dan agama serta sering mendapat perhatian politik dan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, satu gabungan NGO dilaporkan merancang mengadakan perhimpunan aman di ibu negara Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah.
Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth berkata, protes tersebut dijadual berlangsung pada 7 Februari berhampiran kompleks membeli-belah Sogo bermula 8 malam dengan penyertaan kira-kira 141 NGO.
Sementara itu, seorang pemilik tanah persendirian di Jalan Selangor Dredging sebelum ini bertegas meneruskan tindakan merobohkan sebuah kuil yang didakwa dibina secara haram di atas tanah miliknya selepas rundingan dan tempoh pengosongan diberikan kepada pihak terlibat.
Pemilik berkenaan mendakwa tanah itu telah dimiliki lebih dua dekad dan notis lanjutan pengosongan sehingga awal Februari tidak dipatuhi, menyebabkan pertikaian tersebut terus menjadi tumpuan perbahasan awam. – MalaysiaGazette
















