SIBU – Polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tiga kanak-kanak lemas di sebuah kolam kumbahan di belakang flat perumahan Blok M, Sibu Jaya, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada tubuh mangsa dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan turut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan diminta menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Zulkipli turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Dalam kejadian itu, dua beradik, iaitu Macx Devdynne Sharie Merdeka, 12, dan Macx Welwait Merdeka, 9, serta rakan mereka Daniella Arissa Tayas Maringgai, 10, dipercayai terjatuh ke dalam kolam kumbahan berkenaan yang dianggarkan sedalam kira-kira dua meter sebelum dibawa naik ke tebing oleh orang awam. – BERNAMA
















