KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan, proses tapisan yang dibuat olehnya untuk kenaikan pangkat penjawat awam bukanlah satu siasatan jenayah.
Sebaliknya merupakan proses semakan integriti yang dibuat berdasarkan maklumat, aduan dan risikan sedia ada pada masa permohonan tapisan dikemukakan oleh jabatan masing-masing bagi tujuan kenaikan pangkat seseorang pegawai.
Bahagian Komunikasi Strategik, SPRM dalam kenyataan berkata, sekiranya ketika tapisan dibuat tiada laporan, aduan atau bukti kukuh berkaitan salah laku rasuah atau pelanggaran integriti, maka tiada asas undang-undang untuk menghalang kenaikan pangkat mana-mana penjawat awam.
Menurutnya, proses tapisan ini juga bergantung kepada permohonan rasmi daripada jabatan berkaitan, dan bukannya dijalankan secara automatik oleh SPRM.
Bagi aspek pengisytiharan harta pula, ia merupakan prasyarat penting dalam urusan kenaikan pangkat penjawat awam.
Jelasnya, proses ini diurus dan disemak oleh jabatan serta suruhanjaya perkhidmatan masing-masing sebagai sebahagian daripada mekanisme tadbir urus dan tapisan integriti dalaman.
“SPRM hanya terlibat sekiranya wujud aduan atau keperluan siasatan khusus, dan bukan sebagai penapis automatik dalam setiap urusan kenaikan pangkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, realitinya, salah laku rasuah khususnya yang melibatkan pegawai kanan, lazimnya dilakukan secara terselindung, terancang dan mengambil masa untuk dikesan.
Oleh itu, katanya, banyak kes hanya terbongkar selepas tempoh tertentu apabila muncul bukti baharu, maklumat daripada pemberi maklumat, atau hasil risikan kewangan yang sebelum ini belum wujud.
“Yang penting, kenaikan pangkat tidak pernah memberi kekebalan atau perlindungan daripada siasatan pada masa hadapan. Sekiranya timbul aduan rasmi dan bukti mencukupi, siasatan akan dijalankan tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
“Hakikatnya, individu terlibat kini disiasat dan didakwa membuktikan SPRM bertindak berasaskan bukti dan undang-undang, serta berpegang kepada prinsip yang jelas: tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” menurut kenyataan tersebut.
Semalam, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menimbulkan persoalan terhadap SPRM dan perdana Menteri berhubung tapisan dan syarat pengisytiharan harta sebelum seseorang pegawai dilantik atau dinaikkan pangkat.
Dakwanya, semasa beliau menerajui kementeriannya, setiap lantikan yang melibatkan pegawai kerajaan perlu ditapis terlebih dahulu oleh SPRM meskipun bukan melibatkan lantikan kanan.
Ini kerana tapisan SPRM sudah menjadi syarat untuk kenaikan pangkat seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2010.
“Jadi apa jaminan yang tapisan SPRM atau pengisytiharan harta tu sebenarnya ada makna untuk memastikan sesiapa yang ada kes tidak dinaikkan pangkat? soal Rafizi. – MalaysiaGazette
Bagaimana pegawai ada kes rasuah bolos tapisan SPRM? Rafizi tanya Azam
















