KUALA LUMPUR – “Jadi apa jaminan yang tapisan SPRM atau pengisytiharan harta tu sebenarnya ada makna untuk memastikan sesiapa yang ada kes tidak dinaikkan pangkat? Soal Datuk Rafizi Ramli dalam satu video di media sosialnya, hari ini.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu melontarkan beberapa persoalan yang ditujukan khusus kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tapisan dan syarat pengisytiharan harta sebelum seseorang pegawai dilantik atau dinaikkan pangkat.
Beliau merujuk terutamanya kepada skandal rasuah yang melanda Angkatan Tentera Malaysia di mana dua pegawai kanan tentera iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Nizam Jaffar dan bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddeain Jantan sedang berdepan pertuduhan mahkamah.
Rafizi mendakwa, kes-kes berkenaan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sehingga individu yang mempunyai kes ‘bolos’ tapisan SPRM dan syarat tersebut juga dilihat tidak berkesan menyekat individu terbabit daripada dinaikkan pangkat.\
Ini kerana katanya, Hafizuddeain dilantik Timbalan Panglima Tentera Darat pada 23 Mac 2023, kemudian dilantik Panglima Tentera Darat pada 6 September 2023 yang mana kedua-dua lantikan tersebut sudah lulus tapisan SPRM.
Sedangkan, menurut laporan berita, kes rasuah yang dihadapi beliau adalah berhubung kontrak-kontrak perolehan sejak 2023.
Manakala Nizam pula dilantik pada 31 Januari 2025, selepas lulus tapisan diluluskan oleh SPRM sedangkan salah satu dakwaan rasuah yang dihadapi bekas PAT itu adalah berkaitan perolehan sebanyak RM1.725 juta kepada Helmee Resources pada 24 Jun 2024.
Rafizi mempersoalkan kaedah tapisan yang dibuat oleh SPRM terkait dua individu berkenaan dan apakah suruhanjaya anti rasuah itu melakukan semakan terlebih dahulu terhadap pengisytiharan harta yang dibuat Hafizuddeain dan Nizam.
“Bila jadi macam ni, jangan salahkan rakyat kalau rakyat sinis. Masa nak dinaikkan pangkat semua cantik, SPRM lulus semua.
“Bila ada yang tak berkenan atau tak kena, korek balik semua yang dulu-dulu. Kami bukan cerdik atau hebat atau berani macam Tan Sri Azam Baki.
“Bila dah jadi macam ni dan tapisan SPRM macam mencukupkan syarat, rakyat fikir macam tu la,” katanya lagi.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, semasa beliau menerajui kementeriannya, setiap lantikan yang melibatkan pegawai kerajaan perlu ditapis terlebih dahulu oleh SPRM meskipun bukan melibatkan lantikan kanan.
Ini kerana tapisan SPRM sudah menjadi syarat untuk kenaikan pangkat seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2010.
Ia adalah mengenai syarat pemangkuan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam, yang secara khusus menyebut sebarang kenaikan pangkat bukan sahaja perlu melepasi tapisan SPRM, tetapi perlu mengisytiharkan harta. -MalaysiaGazette
















