KUALA LUMPUR – Kerajaan menyalurkan RM30 juta menerusi Dana Inovasi Media (DIM) bagi membantu organisasi media tempatan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta kekal berdaya saing dalam era digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dana itu diwujudkan bagi memperkukuh keupayaan pengamal media serta memastikan kelangsungan industri yang kini berdepan persaingan sengit daripada platform digital dan pencipta kandungan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, DIM bertujuan mempercepatkan transformasi digital organisasi media, memperkukuh kemahiran melalui penerapan teknologi baharu serta meningkatkan daya saing dalam pasaran.
“Ia juga menggalakkan penghasilan kandungan berkualiti, beretika dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan prinsip kewartawanan serta kepentingan awam,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Kulai itu, dana tersebut terbuka kepada organisasi media tempatan yang berdaftar secara sah dan memenuhi syarat kelayakan, termasuk pendaftaran dengan Jabatan Penerangan Malaysia.
“Ini bagi memastikan penyaluran dana dibuat secara telus dan berintegriti,” katanya.
Menurut beliau, permohonan dilaksanakan secara berfasa menerusi portal rasmi kementerian dengan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan tertakluk kepada penilaian jawatankuasa.
Katanya, pemohon yang layak akan dipanggil ke sesi pembentangan bermula hari ini.
Jelasnya, dana itu boleh digunakan bagi tujuan latihan, pembelian peralatan, naik taraf perisian, pembangunan kandungan inovatif serta inisiatif digital lain.
“Ia membantu mengekalkan tenaga kerja sedia ada dan membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor media digital,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan organisasi media supaya memastikan dana dimanfaatkan bagi penghasilan kandungan yang menyemai perpaduan, meningkatkan pengetahuan rakyat serta mematuhi etika kewartawanan.
Katanya, kerajaan yakin inisiatif itu mampu memperkukuh ekosistem media negara dan memastikan industri tempatan kekal relevan dalam landskap teknologi yang semakin mencabar. -MalaysiaGazette
















