MELAKA – Kegiatan sindiket perlombongan bitcoin di sebuah rumah di Taman Tambak Paya Harmoni di sini terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa pagi tadi.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kegiatan itu dihidu hasil risikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, ia susulan pengesanan peningkatan haba serta arus elektrik luar biasa di premis berkenaan yang dibiarkan kosong tetapi menyamai penggunaan tiga buah rumah teres.
“Lebih mencurigakan apabila terdapat kain langsir bewarna merah yang menutupi sambungan kabel elektrik secara haram di luar rumah bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.
“Taman ini baharu dibuka sejak setahun yang lalu dan TNB dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM8,000 sebulan kesan daripada elektrik yang dicuri itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas operasi bersepadu bersama TNB dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga di rumah berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, tiada tangkapan dibuat susulan rumah tersebut kosong tidak berpenghuni ketika serbuan dilakukan.
“Operasi hari ini merupakan yang kedua dijalankan pada tahun ini selepas satu serbuan pada Januari lalu yang melibatkan dua unit premis kedai dengan anggaran kerugian mencecah RM1.6 juta.
“Tahun lalu, sebanyak 85 kes perlombongan bitcoin haram direkodkan melibatkan kerugian RM29.6 juta akibat kecurian bekalan elektrik kerana penggunaan mesin yang memerlukan penggunaan arus yang tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain mengakibatkan kerugian kepada TNB, kegiatan haram itu juga mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk sekitar.
“Arus elektrik yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kabel menjadi panas dan berisiko terbakar sekali gus membahayakan nyawa dan keselamatan penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette
















