KUALA LUMPUR – Apabila tiba bulan Ramadan, tumpuan warga kota pastinya terarah kepada lokasi yang bukan sekadar menawarkan juadah enak tetapi juga suasana yang mampu menggamit memori dan jiwa untuk berbuka puasa.
Berbuka puasa dengan latar mercu tanda kebanggaan negara.
Di Saloma Kuala Lumpur, cahaya kota raya menjadi saksi pertemuan ukhuwah manakala selera dimanjakan dengan juadah warisan yang tiada tolok bandingnya.
Hanya di Saloma Kuala Lumpur meraikan Ramadan di bawah langit yang sama iaitu di celah bangunan pencakar langit.
Tahun ini, Saloma Kuala Lumpur tampil dengan kelainan tersendiri menerusi buffet Ramadan yang sentiasa dinanti-nantikan.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Riza Che Umar berkata, mengangkat keunikan kepelbagaian budaya di Malaysia dapat diterjemahkan dengan tagline ‘Di Bawah Langit Yang Sama’ dipenuhi hidangan berbuka puasa yang melangkaui sempadan kaum.
“Bukan sekadar bufet biasa, tahun ini kita mahu terus menyantui pelanggan kami dengan membawakan suasana berbuka bukan hanya di dalam dewan malah juga di luar.
“Bersesuaian dengan tema, pilihan juadah yang disediakan bukan sahaja memfokuskan kepada masakan Melayu tradisional yang menjadi ‘tulang belakang’ Saloma malah turut menampilkan kepakaran chef dalam masakan Cina, India, Barat dan juga Arab.
“Tidak hanya itu, pelanggan sudah tidak perlu lagi bersesak dalam cuaca panas kerana suasana kemeriahan bazar dengan pelbagai gerai live cooking kini boleh dinikmati dengan penuh keselesaan,” katanya ketika ditemui pada majlis reviu Buffet Ramadan di sini semalam.

Daripada aroma kambing golek hinggalah kepada dimsum panas dan seleksi pasta premium semuanya tersedia di bawah satu bumbung.
Jelas Riza lagi, bagi mengelak isu kesesakan yang sering menjadi keluhan pelanggan di lokasi lain, Saloma Kuala Lumpur kini mampu memuatkan sehingga 860 orang dalam satu-satu masa.
“Kapasiti yang luas ini menjadikan kami lokasi paling ideal bukan sahaja buat keluarga besar, malah buat syarikat korporat yang ingin mengadakan majlis berbuka puasa berskala mega.
“Ramai sebelum ini mengeluh berbuka di luar tapi sukar nak solat Terawih, namundi sini kami turut menyediakan ruang yang selesa bagi pelaksanaan solat fardu Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah.

“Lepas solat, boleh sambung makan lagi. Selain itu moreh juga kami sediakan dengan menu masakan panas yang boleh dinikmati para pelanggan,” ujarnya lagi.
Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa dalam suasana eksklusif namun tetap meriah, pakej Buffet Ramadan Saloma Kuala Lumpur ditawarkan pada harga RM168 bagi dewasa, RM98 bagi kanak-kanak, orang kelainan Upaya dan warga emas.
Dengan gabungan lokasi ikonik, konsep bazar yang unik serta kemudahan ibadah yang lengkap, Saloma Kuala Lumpur jelas berada dalam kelasnya yang tersendiri bagi musim Ramadan 2026.
Pastikan tempahan dilakukan lebih awal untuk memastikan tempat anda di bawah ‘langit’ Saloma yang penuh barakah ini. – MalaysiaGazette















