KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan tidak akan menyerahkan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selagi kapal berkenaan belum benar-benar menepati semua spesifikasi operasi, sistem serta keperluan keselamatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, walaupun projek itu mempunyai garis masa yang dipersetujui dalam kontrak, faktor keselamatan dan kebolehoperasian tetap menjadi penentu utama.
Antara punca kelewatan setakat ini ialah keperluan pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) melakukan pemasangan semula beberapa komponen penting, termasuk perpaipan dan pendawaian kabel.
“Kita harus ingat walaupun betul di antara Mindef dan LUNAS, kita ada jadual ikut kontrak ditetapkan.
“Namun, dalam masa yang sama kita di pihak Kementerian Pertahanan, tidak bertolak ansur dari segi spesifikasi kerana harus ingat, LCS ini akan kita gunakan untuk tempoh 30 tahun akan datang.
“Jadi walaupun kita tahu ada tempoh masa, tapi bagi kita keperluan keselamatan bagi kapal itu sama ada operasinya ataupun yang paling penting adalah kepada anggota-anggota kita, keselamatan nak guna (kapal ini) untuk tempoh 30 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Adly, pihaknya tidak akan sesekali bertolak ansur dari segi spesifikasinya atau standard yang ditetapkan.
“Sebab itu saya yakin, jaminan yang kita berikan bahawa bila kapal itu kita serahkan kepada Angkatan Tentera Laut, kita sudah pasti ia sewajarnya memenuhi standard ataupun spesifikasi yang ditetapkan. Itu antara perkara yang kita berikan keutamaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan pentauliahan LCS 1 KD Maharajalela terpaksa dianjak daripada Ogos kepada Disember 2026 akibat kelewatan penghantaran peralatan oleh pengeluar peralatan asal (OEM).
Beliau turut menjelaskan, LCS 2 dijadualkan siap pada Ogos 2027, manakala kapal seterusnya kekal mengikut perancangan asal iaitu LCS 3 pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
Dalam sesi sama, Adly turut menjawab kebimbangan yang dibangkitkan ahli Parlimen mengenai perubahan berulang jadual siap projek berkenaan.
Menurutnya, tanggapan bahawa kemajuan projek tidak memuaskan adalah tidak tepat jika dilihat berdasarkan perkembangan sejak tiga tahun lalu.
“Kita boleh lihat dalam tempoh tiga tahun ini, bagaimana kita menguruskan LCS itu dari segi pembinaannya, dari segi ujian di pelabuhannya termasuk kita bawa kepada ujian di laut pada April ini.
“Sebab itu kalau kita lihat perkembangan LCS, ia bukan pada LCS yang pertama saja. Minggu depan akan ada penamaan LCS yang ketiga.
“Jadi proses ini kita akan buat mengikut jadual yang ditetapkan tapi dalam masa sama, seperti saya sebutkan tadi, kita tak bertolak ansur dari segi spesifikasi bagi tujuan pengoperasian dan keselamatan anggota, terutama bila kapal diserahkan kepada Tentera Laut,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















