ling tian soon
Ling Tian Soon

JOHOR BARU – Jabatan Kesihatan Johor kemungkinan akan melakukan saringan terhadap lebih ramai penduduk di kawasan berlaku wabak tuberkulosis (tibi) di Kota Tinggi yang dikesan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, langkah proaktif diambil Jabatan Kesihatan Johor selepas kluster tibi muncul di daerah itu pada 25 Januari.

“Setakat ini, sejumlah 804 kontak rapat telah disaring dengan 33 individu disahkan positif tibi.

“804 individu yang disaring adalah mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat, termasuk mereka yang tinggal di rumah yang sama,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu menambah, kesemua 33 penduduk itu sedang menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif tibi.

“Semua mereka yang disahkan positif telah diberikan rawatan perubatan, termasuk ubat yang diperlukan,” katanya dan memaklumkan Jabatan Kesihatan negeri mempunyai kakitangan yang mencukupi di lapangan untuk menguruskan keadaan.

Tian Soon juga mengingatkan penduduk yang tinggal berhampiran lokaliti untuk sentiasa memakai pelitup mulut dan mengamalkan kebersihan termasuk menutup mulut semasa batuk atau bersin kerana tibi adalah penyakit bawaan udara.

Beliau menggesa mereka yang menunjukkan gejala tibi seperti batuk berterusan, demam, hilang selera makan dan berpeluh malam untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Sungai Mas, Mohd Ariff Ahmad berkata, pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, melawat kampung itu lewat bulan lalu untuk menjalankan saringan kesihatan selepas seorang penduduk disahkan positif tibi.

Katanya, pegawai terbabit juga memberi taklimat kepada pemimpin komuniti di Felda Sungai Mas dan kawasan berdekatan tentang penyakit itu.

Mohd Ariff berkata, pihaknya memberi jaminan kepada penduduk, penyebaran itu dapat dibendung jika mereka mematuhi garis panduan yang disediakan.

“Antara nasihat yang diberikan adalah untuk mengamalkan kebersihan yang baik, memakai pelitup muka dan mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka mengalami batuk dan demam selama lebih tiga hari,” katanya.

Mohd Ariff berkata, situasi di Felda Sungai Mas terkawal dengan sekolah, kedai dan aktiviti harian diteruskan seperti biasa untuk membolehkan penduduk yang tidak terjejas meneruskan kehidupan mereka.

“Pada masa ini, hanya mereka yang disahkan positif dikuarantin di rumah, dengan pegawai KKM menyediakan ubat kepada mereka,” katanya. .

Menurut Mohd Ariff, Felda Sungai Mas adalah antara penempatan Felda terbesar di negara ini dengan lebih 5,000 penduduk yang kebanyakannya adalah peneroka.

Difahamkan kluster itu dikaitkan dengan seorang wanita warga emas di Felda Sungai Mas yang mengalami demam dan batuk tiga hari sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan kemudian disahkan positif tibi.

Kawasan penempatan lain yang terletak berhampiran Felda Sungai Mas termasuk Felda Papan Timur dan Bandar Mas di Pengerang terletak kira-kira 70 kilometer dari Johor Baru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast