PUTRAJAYA – Sebanyak 4,539 program Jualan Agro Madani (JAM) di seluruh negara dilaksankaan sehingga Januri tahun ini melalui tiga agensi utama iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan nilai jualan mencecah RM80.25 juta.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, ia merupakan penjimatan kepada rakyat dengan anggaran sebanyak RM21.8 juta.
Menurutnya, FAMA muncul sebagai agensi paling aktif apabila berjaya menganjurkan lebih 3,900 program JAM, sekaligus melepasi sasaran asal sebanyak 3,500 program.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan FAMA dan agensi pelaksana lain dalam memastikan bekalan makanan yang mampu milik serta membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jualan Agro Madani@Pasar Tani Kekal Putrajaya, di sini, hari ini.
Foong Hin berkata, penganjuran Karnival Jualan Agro Madani memberi impak langsung kepada pengguna apabila barangan asas dan segar ditawarkan pada harga 30 hingga 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, sekali gus membantu rakyat berjimat.
Selain itu katanya, konsep jualan terus tanpa orang tengah turut memberi manfaat kepada usahawan tani yang menikmati peningkatan pendapatan sehingga 10 peratus.
“Karnival ini juga dijangka menarik kehadiran lebih 25,000 pengunjung dengan potensi jualan mencecah RM500,000 sepanjang tempoh penganjuran,” katanya.
Tambah Foong Hin, program JAM akan terus diperkasakan sebagai salah satu inisiatif utama kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. – MalaysiaGazette
















