Ruhanie Ahmad
Datuk Dr. Ruhanie Ahmad.

KUALA LUMPUR – Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengekalkan keputusan pemecatan Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang dipecat pada 14 Oktober tahun lalu, demi menjaga maruah serta kelangsungan perjuangan Bersatu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Dr. Ruhanie Ahmad menegaskan, Lembaga Rayuan Bersatu telah bersidang kelmarin bagi meneliti dan merincikan rayuan yang dikemukakan oleh Wan Saiful berhubung pemecatan tersebut.

“Saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Lembaga Rayuan telah bersidang untuk menuntas rayuan berkenaan dan saya amat berharap keputusan dapat dibuat dalam tempoh yang agak segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruhanie yang juga Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Bangi menaruh harapan tinggi agar Lembaga Rayuan mengekalkan hukuman pecat seperti yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini.

Jelasnya, pendirian tersebut lahir daripada hasrat yang ikhlas dan murni bagi mempertahankan maruah parti serta memastikan kelangsungan dan kelestarian perjuangan Bersatu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh pemimpin dan ahli Bersatu di semua peringkat agar sentiasa menjunjung keluhuran Perlembagaan parti, institusi presiden, misi dan visi perjuangan, selain memelihara peraturan, adab, kesetiakawanan serta jati diri parti.

“Sesiapa sahaja yang melanggar tuntutan-tuntutan ini wajar dikenakan hukuman paling maksimum,” tegasnya.

Menurut Ruhanie, ketegasan sedemikian perlu disokong sepenuhnya kerana ia merupakan pendekatan terbaik untuk menjamin kekuatan parti serta menghindari pelbagai ancaman yang boleh melumpuhkan Bersatu. — MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast