Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor memperoleh perintah waran tangkap terhadap dua orang pegawai Imigresen kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes rasuah.

Menurut sumber, perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Chan Lee Lee dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

“Sebelum itu, peguam kedua-dua tertuduh, Saleh Tukimin memberitahu mahkamah kedua-dua anak guamnya dalam tempoh cuti sakit di mana seorang mengalami slip disc dan seorang lagi mengalami masalah tyroid.

“Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan sebelum 25 Februari 2026,” katanya.

Sebelum ini, pertuduhan kali pertama untuk kedua-dua tertuduh telah ditetapkan pada 21 Januari 2026 bagaimanapun kedua-duanya gagal hadir dan mahkamah telah menetapkan 5 Februari 2026 untuk pertuduhan kali kedua.

Kedua-dua tertuduh sepatutnya didakwa dengan kes berkaitan perbuatan rasuah yang didakwa berlaku pada 22 September 2024 di Pejabat Imigresen Terminal Pasir Gudang, Johor, apabila kedua-duanya disyaki secara bersama telah menerima wang berjumlah RM100 sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap dokumen perjalanan seorang warga Indonesia.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast