Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan notis lelongan terhadap 14 harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada 11 Februari 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan notis lelongan terhadap 14 harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menurut notis jualan tersebut dijadualkan berlangsung di kediaman Jamal yang beralamat di No.63, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor pada jam 10 pagi, 11 Februari ini.

Jamal ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan perkara itu sambil memberitahu, notis mahkamah itu dilekatkan di tembok pagar kediamannya, pada Khamis petang.

“Notis sitaan mahkamah ini dilekatkan di tembok pagar rumah saya semalam,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Penjaga kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedang mencabut notis mahkamah lelongan harta alih dari tembok pagar.

Proses sitaan ini berpunca daripada kegagalan Jamal menjelaskan hutang penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sejak beberapa bulan lalu.

Bayaran itu membabitkan kos guaman yang belum dibayar oleh Jamal, 56, berhubung kes saman fitnah mendakwa Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada 2017.

Jamal juga menyifatkan tindakan Teresa itu sebagai terdesak dan nekad untuk terus memalukan dirinya sedangkan peguam kedua-dua pihak pernah mencapai persefahaman bersama dalam penyelesaian kos pengurusan kes tersebut.

“Nampaknya Teresa betul-betul nekad nak sita barang-barang dalam rumah saya, Insya-Allah saya juga akan lelong sebelah selipar saya untuk bayar hutang saman itu,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, sejumlah 14 harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu disita secara paksa daripada kediamannya di Ampang Jaya dengan kehadiran bailif Mahkamah Tinggi.

Barangan yang disenaraikan itu sedang menunggu pelupusan secara lelong bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 yang belum dibayar Jamal kepada Ahli Parlimen Seputeh itu.

Sebelum ini, Jamal melalui peguamnya, Peguam Nasser Yusof memberitahu, 14 senarai harta alih yang bakal dirampas bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak itu adalah milik anaknya, Amin Daniel.

Sehubungan itu, Nasser akan mengemukakan permohonan saman interpleader kepada Mahkamah Tinggi di sini, dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast