Masyarakat perlu diselamatkan daripada dua ekstrem, ekstrem membisu hingga membiarkan kemungkaran; dan ekstrem berbicara hingga menyebar kebatilan bersalut agama. - Gambar Arkib MG

Oleh Abu Musleh

Ungkapan “syaitan bisu” dan “syaitan yang berbicara” kini menjadi mata wang retorik yang laris dalam ruang politik dan wacana agama di tanah air. Sesiapa yang mendiamkan diri daripada  yang mereka kategorikan sebagai“kebenaran” segera dicop sebagai “syaitan bisu”; sesiapa yang menegur pula, jika tegurannya tidak sehaluan, boleh pula dituduh “syaitan yang berbicara”.

Pada zahirnya, dua ungkapan ini tampak seolah-olah menegaskan kewajipan amar makruf nahi mungkar. Namun pada hakikatnya, cara ungkapan itu digunakan hari ini semakin kerap membawa fungsi yang berbeza: bukan mendidik umat, tetapi menundukkan lawan; bukan memandu ke arah kebenaran, tetapi mengunci ruang ijtihad; bukan menyatukan ummah, tetapi memecahkan masyarakat melalui label yang mematikan akhlak dan kefahaman.

Di sinilah persoalan besar yang wajar digugat secara kritis: adakah kita sedang menegakkan agama atau sedang menukar agama menjadi senjata  retorik?

Pelengkap yang Sengaja Dipadamkan

Ramai mendengar ungkapan “orang yang senyap daripada kebenaran adalah syaitan bisu” lalu mengulanginya dengan penuh yakin, seolah-olah ia dalil tuntas yang memberi lesen untuk “menghukum” orang lain. Tetapi tidak ramai yang meneliti pelengkap pentingnya bahawa “orang yang bercakap menyebarkan kebatilan adalah syaitan yang berbicara”.

Pelengkap ini bukan hiasan sebaliknya ialah inti keseimbangan. Jika “syaitan bisu” memberi amaran terhadap sikap pasif ketika kemungkaran berleluasa, “syaitan berbicara” pula memberi amaran terhadap kerakusan lidah yang memutar agama, menyebar salah faham dan menanam kebencian.

Dua-dua bahaya ini sama serius. Malah, dalam suasana masyarakat yang ditenggelami propaganda, “syaitan berbicara” sering lebih merosakkan. Kerana “bisu” hanya membiarkan keburukan berlaku, tetapi “berbicara” boleh mengubah keburukan menjadi “kebenaran” melalui permainan emosi, takwil sempit, dan pembingkaian naratif yang memukau massa.

Amar Makruf Nahi Mungkar Bukan Lesen Memaki

Islam meletakkan amar makruf nahi mungkar sebagai tanggungjawab sosial. Al-Quran menegaskan perlunya segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh makruf dan mencegah mungkar. Namun Islam juga menetapkan kaedah, adab dan sempadan. Rasulullah SAW menyusun tahap perubahan kemungkaran  dengan tangan, jika mampu, dengan lisan, jika mampu dan dengan hati, jika tidak mampu dan itu selemah-lemah iman.

Ini petunjuk besar bahawa  bukan semua kemungkaran boleh “diselesaikan” dengan lisan yang keras atau tindakan drastik. Kewajipan itu mengikut kemampuan, konteks dan maslahat. Maka, di mana letaknya kebijaksanaan jika amar makruf nahi mungkar disempitkan menjadi sekadar “sebut, label dan serang”? Bukankah itu mengkhianati matlamatnya, kerana ia menolak orang daripada kebenaran, bukan mendekatkan?

Lebih membimbangkan, budaya “melabel” sesama Muslim telah menjadi penyakit berjangkit. Al-Quran melarang ejekan, celaan dan gelaran buruk. Larangan “tanabazu bil-alqab” bukan nasihat sopan santun semata-mata; ia perisai sosial agar iman tidak dicemari dengan akhlak permusuhan. Maka apabila lidah menuduh dan memperlekeh, kita sedang menyemai kerosakan yang Al-Quran namakan sebagai kezaliman.

“Manusia Telah Binasa” — Sindrom Keangkuhan Moral

Satu lagi penyakit dalam wacana “syaitan bisu/berbicara” ialah kecenderungan menghukum masyarakat secara total. Nabi SAW mengingatkan: apabila seseorang berkata “manusia telah binasa”, maka dia sendirilah yang paling binasa. Hadis ini bukan melarang kritik social, ia melarang keangkuhan moral iaitu rasa diri paling selamat, paling suci, paling benar hingga menafikan rahmat Allah dan mematikan ruang taubat.

Apabila seseorang atau kelompok mengangkat diri sebagai satu-satunya penjaga “kebenaran”, lalu semua yang lain diklasifikasikan sebagai “syaitan bisu” atau “syaitan berbicara”, maka yang lahir bukanlah pembaikan, tetapi pengkultusan diri.

Pengkultusan diri ialah sikap atau amalan mengangkat diri sendiri (atau kumpulan sendiri) sebagai paling benar, paling suci, paling layak ditaati, sehingga menutup ruang teguran, perbezaan pandangan dan penilaian kritis. Ia berlaku apabila seseorang menjadikan dirinya ukuran kebenaran, bukan lagi kebenaran sebagai ukuran dirinya.  Mereka inilah yang mencipta kasta moral yang meruntuhkan adab ikhtilaf, menutup pintu musyawarah, dan mengubah dakwah menjadi dominasi.

Negara dan Kebaikan: Jangan Buta Politik, Jangan Buta Agama

Dalam konteks kenegaraan, ada yang menuduh mana-mana usaha baik kerajaan sebagai “sekular”, “munafik”, atau “tidak ikhlas” lalu segala kebaikan ditolak kerana datang daripada pihak yang tidak sehaluan. Sikap ini tidak ilmiah dan tidak Islami. Al-Quran sendiri memerintahkan “bertolong-tolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa” dan melarang kerjasama dalam dosa dan permusuhan.

Ini prinsip yang lebih besar daripada parti, lebih luas daripada mazhab, dan lebih tinggi daripada sentimen kelompok. Jika sesuatu dasar membawa maslahatm, misalnya pengukuhan pendidikan, pembelaan institusi agama, atau langkah memperkukuh identiti kebangsaan maka umat Islam wajar menyokongnya pada kadar maslahat yang ada, sambil terus menasihati kelemahan yang wujud. Kebaikan tidak menjadi haram hanya kerana ia datang daripada “orang yang tidak kita suka”; sebagaimana kebatilan tidak menjadi halal hanya kerana ia datang daripada “orang kita”.

Ayat “barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia melihat balasannya” mengajar kita supaya menilai kebaikan tanpa sikap beku dan fanatik. Tetapi menilai kebaikan tidak bermaksud membuta-tuli terhadap keburukan. Di sinilah keseimbangan agama: menyokong yang baik, menolak yang salah tanpa memperdagangkan label syaitan sesuka hati.

Tali Allah Bukan Monopoli Kelompok

Ayat “berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan jangan berpecah-belah” sering dijadikan poster moral untuk memaksa semua pihak menyertai satu kelompok tertentu. Sedangkan para ulama menafsirkan “tali Allah” sebagai Islam itu sendiri. Maka “berpegang pada tali Allah” adalah komitmen kepada agama dan bukannya ikrar kepada organisasi, bukan bai‘ah kepada parti, bukan taat membuta kepada tokoh.

Di sini kritik paling penting harus ditegaskan: apabila seseorang menafsirkan ayat-ayat Allah seolah-olah hanya memihak kumpulannya, dia sedang memaksa wahyu masuk ke dalam acuan sempitnya. Al-Quran memberi amaran tentang golongan yang mengikuti ayat-ayat mutasyabihat untuk mencari fitnah dan menuntut takwil mengikut kehendak. Kesan sosialnya ialah perpecahan, iaitu setiap kumpulan mengangkat teks sebagai “hak eksklusif”, lalu yang lain dianggap lari daripada kebenaran.

Yang lebih merbahaya, apabila ayat “jangan berpecah” digunakan untuk menutup mulut teguran dan kritik yang sah, maka “kesatuan” yang dibina itu bukan kesatuan iman, tetapi kesatuan ketakutan. Itu bukan penyatuan ummah; itu pembungkaman ummah.

Siapa Sebenarnya “Syaitan Berbicara”?

Dalam realiti hari ini, “syaitan berbicara” bukan semata-mata orang yang menyebarkan kebatilan secara terang. Ia juga boleh berupa individu yang memetik ayat dan hadis untuk memanipulasi khalayak, mengubah agama menjadi alat ketakutan, menggantikan hujah dengan herdikan; yang menanam prasangka, lalu menamakan prasangka itu “ketegasan agama”. Kata-kata itu tampak religius, tetapi fungsinya memecahkan dan itulah kebinasaan paling halus.

Maka, mentafsir “syaitan bisu” dan “syaitan berbicara” menuntut lebih daripada semangat. Ia menuntut ilmu, adab, kejujuran dan ketakwaan. Menegur kemungkaran bukan hak eksklusif orang tertentu, dan diam pula tidak semestinya tanda pengkhianatan,  ada diam yang lahir daripada hikmah, ada diam yang lahir daripada takut. Ada bicara yang lahir daripada amanah, ada bicara yang lahir daripada nafsu.

Penutup

Akhirnya, masyarakat perlu diselamatkan daripada dua ekstrem, ekstrem membisu hingga membiarkan kemungkaran; dan ekstrem berbicara hingga menyebar kebatilan bersalut agama. Yang paling mendesak ialah mengembalikan amar makruf nahi mungkar kepada jalurnya yang sebenar, iaitu berprinsip, beradab, bertahap, dan berpaksikan maslahat.

Janganlah kita mempermudah jalan menuding “syaitan” kepada orang lain, sedangkan lidah kita sendiri sedang meruntuhkan persaudaraan. Janganlah kita menyempitkan “tali Allah” seolah-olah ia milik kumpulan tertentu. Dan janganlah kita menukar dakwah menjadi medan memburu kesalahan kerana agama datang untuk membimbing manusia ke jalan Tuhan, bukan memuaskan nafsu menang dalam pertarungan naratif.

Jika tidak, kita mungkin menyangka sedang memerangi syaitan, padahal kita sedang mengulang peranan syaitan itu sendiri dengan suara yang petah, tetapi tanpa hikmah dan rahmat!

— Abu Musleh  ialah pendakwah bebas bertauliah lulusan Timur Tengah, menjalani tempoh pengajian  universiti dan talaqqi selama 9 tahun di beberapa negara Arab. Beliau  banyak memerhati secara dekat perjalanan gerakan dakwah dan politik di Timur Tengah yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast