152 PATI yang ditahan dalam operasi di sebuah pusat beli belah di Cheras, semalam.

KUALA LUMPUR – “Saya datang sini kerana mahu mencari kerja dan pasport pula dibawa lari,” itu luahan seorang wanita dari Medan, Indonesia yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Cheras, di sini semalam.

Menurut Sosilawati, 40, dia baru seminggu tiba di Malaysia untuk mencari pekerjaan namun telah ditipu sebaik tiba di Johor oleh agen yang dibayarnya sebanyak RM5,000 secara tunai dan pasportnya juga diambil tanpa dipulangkan.

“Ini kali kedua saya datang ke Malaysia selepas tahun 2020 untuk mencari pekerjaan, dan saya cuba hubungi agen tapi sudah disekat. Saya hanya ada RM150 datang ke Kuala Lumpur mencari kawan saya di sini untuk cari pekerjaan,” katanya pada pemberita.

Lokman Effendi Ramli menyertai operasi di sebuah pusat beli belah di Cheras, semalam.

Wanita ini antara warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Sapu dan Op Selera di premis perniagaan yang dimonopoli warga asing di kawasan tersebut.

Operasi bermula jam 8 malam itu disertai seramai 112 pegawai dari Ibu pejabat Imigresen Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 890 individu telah diperiksa melibatkan 458 warga asing dan 432 warga tempatan.

“Daripada jumlah itu, 152 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan terdiri daripada 94 warga Myanmar, (40) warga China, (6) warga Indonesia, (2) warga Bangladesh dan (10) dari lain negara yang kesemuanya berusia 21 hingga 42 tahun.

“Kesemua tahanan dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen iaitu tinggal lebih masa yang ditetapkan, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan salah guna permit atau visa yang diberikan,” katanya dalam sidang media di sini malam tadi.

Lokman Effendi Ramli

Tambah beliau, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama seminggu dan sepanjang operasi terdapat warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak anggota.

“Kami juga mendapati terdapat sesetengah premis dikesan mempunyai sistem pemantauan atau ‘pengawal pintu’ yang memberi amaran awal kepada mereka (PATI) dari jauh seperti kamera litar tertutup (CCTV).

“Antara faktor utama kawasan ini dipilih adalah kerana kebanjiran warga China dan hasil risikan sememangnya aktiviti itu berlaku dan malam ini masa yang sesuai untuk operasi” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak 19 premis diserbu dan menyasarkan premis yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah, selain mengesan pelawat yang tinggal lebih masa.

Kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“JIM akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan orang ramai serta majikan diingatkan sekali lagi agar tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast