PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Zamri Bakar mendahului senarai 11 individu yang dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman yang baharu.
Zamri, 58, sebelum ini memegang pelbagai jawatan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen beberapa negeri dan Pengarah Mahkamah Negeri Pulau Pinang.
Selain itu, bekas peguam kanan yang juga bekas Penasihat Khas dan Perunding Undang-Undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri K. Raja Segaran, 60, turut dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.
Turut dilantik, bekas Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Nixon Kennedy Kumbong, 56, dan Pengarah Mahkamah Negeri Johor, Rihaida Rafie, 55.
Pelantikan tersebut turut melibatkan Pendaftar Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak, Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad, 48, dan bekas Presiden Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Asmadi Hussin, 58.
Turut menganggotai badan kehakiman, bekas peguam yang juga pernah berjawatan sebagai penasihat undang-undang beberapa kementerian, Zalita Zaidan, 57.
Sementara itu, peguam-peguam Mohamad Redzuan Idrus, 48, Alvin Leong Yin Yuan, 48, dan Clive Jublee, 55, serta bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azhar Mokhtar, 60, turut dilantik.
Pada majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya, mereka menerima watikah pelantikan daripada Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Zamri, Raja Segaran, Nixon, Rihaida, Asmadi, Zalita, Redzuan dan Azhar mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah. Mereka akan berkhidmat di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Dayang Ellyn, Yin Yuan dan Clive mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi. – MalaysiaGazette















