Oleh: Prof. Dr. Nurul Azmawati Mohamed
VIRUS Nipah bukanlah penyakit baharu. Laporan terkini mengenai penularan kes di India hanyalah peringatan bahawa virus berbahaya ini masih wujud di alam sekitar dan boleh muncul semula apabila wujud peluang penularan. Pada 26 Januari 2026, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan dua kes jangkitan virus Nipah di West Bengal, India, melibatkan kakitangan kesihatan berusia sekitar 20 hingga 3 tahun. Jangkitan ini dikesan pada akhir Disember 2025 dan disahkan melalui ujian makmal.
Satu kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala satu lagi kes mengalami penyakit neurologi yang teruk tetapi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Kira-kira 190 individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit telah diuji dan semuanya negatif, tanpa kes lanjutan setakat ini. WHO menilai risiko penularan di peringkat global dan serantau
sebagai rendah, namun risiko di peringkat tempatan dianggap sederhana kerana penyakit ini boleh membawa maut dan sehingga kini tiada vaksin atau rawatan khusus untuk jangkitan ini.
Sejarah virus Nipah bermula di Malaysia pada tahun 1998 hingga 1999 apabila satu wabak besar berlaku dalam kalangan penternak babi dan komuniti sekitarnya di Perak dan Negeri Sembilan. Virus ini pertama kali dikenal pasti di Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan, dan dinamakan sempena kampung tersebut.
Wabak mengakibatkan 265 kes keradangan otak yang teruk dengan 105 kematian, serta hampir melumpuhkan industri penternakan babi bernilai berbilion ringgit. Pada peringkat awal, wabak ini disangka sebagai jangkitan radang otak yang disebabkan oleh virus ensefalitis Jepun (JE) menyebabkan langkah kawalan awal tidak berkesan dan penularan berterusan ke kawasan lain termasuk Singapura.
Titik perubahan penting berlaku apabila agen penyebab sebenar dikenal pasti sebagai Virus Nipah melalui pengasingan virus daripada cecair serebrospina pesakit, yang membolehkan langkah kawalan berkesan dilaksanakan beberapa bulan kemudian. Penyebaran virus Nipah dalam wabak pertama di Malaysia disebabkan terutamanya oleh pergerakan babi antara ladang dan antara negeri di Semenanjung Malaysia.
Pemindahan haiwan ternakan yang dijangkiti telah mempercepatkan penularan virus dalam industri penternakan. Jangkitan kepada manusia berlaku melalui kontak rapat dengan babi yang dijangkiti, terutamanya dalam kalangan penternak dan pekerja ladang. Pada ketika itu, penularan daripada manusia ke manusia dianggap jarang berlaku, walaupun virus Nipah berjaya diasingkan daripada air liur, air kencing serta rembesan hidung dan tekak pesakit.
Siasatan lanjut telah mengenal pasti kelawar buah daripada spesies Pteropus sebagai perumah semula jadi virus Nipah. Kelawar ini membawa virus tanpa menunjukkan tanda penyakit dan menyebarkannya melalui air kencing, air liur dan najis.
Perubahan persekitaran, termasuk kemusnahan habitat hutan, kemarau berkaitan fenomena El Niño dan penghijrahan kelawar ke kawasan ladang buah serta ladang ternakan, telah meningkatkan interaksi antara hidupan liar, haiwan ternakan dan manusia. Keadaan ini membuka laluan kepada penularan virus daripada alam semula jadi ke dalam rantaian makanan dan seterusnya kepada manusia.
Jangkitan virus Nipah pada babi boleh menyebabkan demam, batuk, sukar bernafas dan hingus berbuih, serta dalam sesetengah kes gangguan saraf seperti berjalan terhuyung-hayang atau sawan. Walaupun kebanyakannya tidak mati, babi yang dijangkiti menghasilkan virus dalam jumlah tinggi dan menjadi sumber utama penularan kepada manusia melalui kontak rapat.
Jangkitan pada manusia pula bermula dengan gejala tidak spesifik seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan dan muntah. Dalam tempoh beberapa hari, sebahagian pesakit boleh mengalami radang otak yang teruk, dengan mengalami kekeliruan, perubahan tingkah laku, sawan, dan koma. Sesetengah pesakit turut mengalami masalah pernafasan yang serius.
Penyakit ini boleh berkembang dengan cepat dan membawa maut dalam masa singkat, dengan kadar kematian yang dilaporkan antara 40 hingga 75 peratus. Pesakit yang terselamat juga berisiko mengalami kesan neurologi jangka panjang.
Selepas tahun 1999, wabak Nipah tidak lagi berlaku di Malaysia, namun virus ini terus mencetuskan kejadian berulang di beberapa negara Asia, khususnya di India dan Bangladesh. Di India, kebanyakan wabak dilaporkan di negeri Kerala dan sering dikaitkan dengan pengambilan air nira mentah yang tercemar oleh kelawar buah.
Penularan daripada manusia ke manusia turut dilaporkan, terutamanya dalam kalangan ahli keluarga dan penjaga pesakit. Wabak semasa di West Bengal ini menarik perhatian kerana melibatkan kakitangan kesihatan, menimbulkan persoalan mengenai sumber jangkitan dan kemungkinan pendedahan dalam persekitaran penjagaan kesihatan, walaupun siasatan masih dijalankan.
Pengalaman Malaysia telah membentuk pemahaman saintifik global tentang virus Nipah dan menegaskan kepentingan pendekatan One Health, iaitu pengurusan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar secara bersepadu. Penyakit zoonotik seperti Nipah tidak boleh dikawal melalui rawatan perubatan semata-mata, tetapi memerlukan pengurusan ternakan yang selamat, kawalan pergerakan haiwan, pemeliharaan alam sekitar serta kesedaran orang awam.
Bagi rakyat Malaysia, walaupun tiada kes Nipah dilaporkan ketika ini, kewaspadaan orang awam adalah benteng utama pencegahan. Malaysia berada di kawasan tropika yang menjadi habitat semula jadi kelawar buah, dan tabiat seperti memakan buah yang mungkin telah tercemar atau minum air nira mentah perlu dielakkan.
Membasuh buah dengan teliti, memastikan makanan dan minuman diproses dengan selamat serta mengelakkan sentuhan dengan haiwan liar atau haiwan yang sakit adalah langkah pencegahan asas yang berkesan. Individu yang mengalami demam tinggi, sakit kepala berterusan atau gejala neurologi selepas pendedahan berisiko perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Kes Nipah di India hari ini mengingatkan kita bahawa walaupun risiko penularan antarabangsa dinilai rendah, virus ini masih wujud dan berpotensi muncul semula. Kesedaran, pengetahuan dan tindakan pencegahan oleh setiap individu adalah kunci untuk melindungi diri, keluarga dan negara daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya ini.
Profesor Perubatan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia















