KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas kehilangan nyawa akibat serangan pengeboman di sebuah masjid di Islamabad, Pakistan ketika solat Jumaat semalam.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan serius terhadap norma kemanusiaan sejagat.
Menurutnya, serangan yang disengajakan terhadap para jemaah bukan sahaja kejam malah, tidak berperikemanusiaan dan Malaysia merakamkan ingatan serta doa kepada semua mangsa yang terkorban, cedera serta keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Katanya, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Pakistan dalam menghadapi saat penuh duka ini dan menzahirkan solidariti kepada semua yang terjejas akibat tragedi berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pihak berkuasa Pakistan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap keadilan dapat ditegakkan,” kata Anwar menerusi hantaran di media sosialnya hari ini. – MalaysiaGazette
















