AMPANG – Kerajaan menasihati tindakan segelintir pihak agar tidak mencabar undang-undang atau cuba mengganggu-gugat keselamatan awam negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, amaran keras terpaksa diberikan walaupun kerajaan membenarkan rakyat untuk bebas bersuara dan hak untuk mengkritik.
Namun, kata beliau, tindakan mereka yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum bakal berdepan tindakan paling maksimum.
“Kita lebih bebas sekarang. Hendak bagi pandangan boleh, hendak kritik boleh. Tetapi kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum.
“Tangkap mereka dan humban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ucaptama Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di sini hari ini.
Anwar turut menasihati semua pihak agar tidak mengeksploitasi isu sensitif sehingga menjejaskan hubungan antara pelbagai kaum kerana isu keselamatan negara tidak boleh dikompromi.
Beliau yang juga Presiden PKR menyarankan golongan itu supaya tidak menjadi hakim atau mengambil alih peranan pihak berkuasa.
“Kamu bukan hakim, kamu bukan polis. Jangan cuba ambil alih tugas polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis tidak membenarkan Perhimpunan GARAH yang dijadual berlangsung di ibu kota malam ini diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.
Beliau berkata, pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu mengenai rancangan mengadakan perhimpunan aman pada pukul 8 malam di lokasi itu.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkaitan termasuk pemilik premis di sekitar kawasan perhimpunan yang dicadangkan.
“Ketua Polis Daerah Dang Wangi turut mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur perhimpunan GARAH pada 5 Februari bagi meneliti perkara berkenaan.
“Semalam, pihak polis menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta beberapa premis lain di sekitar lokasi perhimpunan berhubung kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang berada di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, menerusi maklumat bebas pihak polis turut memperoleh maklumat yang menunjukkan kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman serta ancaman keselamatan kepada masyarakat di sekitar lokasi perhimpunan.
Katanya, lokasi itu dijangka dipenuhi orang ramai yang hadir untuk membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan awam.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirkan diri ke perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.
“Pihak polis akan memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam sentiasa diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette

















Kenapa kerajaan tak tangkap dan humban penceroboh tanah haram? rakyat nak tahu ni