Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa agar segera menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap dakwaan penglibatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam tindakan terancang memperlekehkan kepimpinan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencemarkan imej parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, tindakan dan tingkah laku segelintir pemimpin parti kebelakangan ini yang memperlihatkan unsur kritikan dan penghinaan terbuka terhadap kepimpinan parti adalah perbuatan biadab, tidak bertanggungjawab serta jelas mencabar disiplin dan kesetiaan dalam Bersatu.

Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila wujud dakwaan kuat Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu  menjadi dalang di sebalik siri tindakan terancang yang bertujuan melemahkan kepimpinan presiden serta menghasut perpecahan dalaman parti.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik malah merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan sah parti dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harrison Hassan
Harrison Hassan

Beliau menegaskan, Perlembagaan Bersatu mewajibkan setiap ahli dan pemimpin memelihara disiplin parti, menghormati struktur kepimpinan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan dan nama baik parti.

Tambahnya, Bersatu tidak seharusnya dijadikan medan permainan politik kotor atau platform agenda peribadi yang diselindungi sindiran dan ejekan terhadap kepimpinan tertinggi parti.

“Mana-mana pemimpin yang memilih untuk melemahkan parti dari dalam, mempermalukan presiden secara terbuka dan menghasut perpecahan jelas telah mengkhianati amanah ahli serta prinsip asas perjuangan Bersatu,” katanya.

Sehubungan itu, Harrison menuntut agar Lembaga Disiplin Bersatu bertindak tegas tanpa sebarang perlindungan politik dan membuka siasatan segera terhadap Hamzah sekiranya wujud bukti penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam isu tersebut.

“Jika dakwaan ini dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan perlembagaan parti. Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, kegagalan parti bertindak tegas terhadap unsur sabotaj dalaman hanya akan menghakis maruah serta kepercayaan rakyat terhadap Bersatu pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast