Antara yang ditahan selepas didapati positif mengambil dadah dalam Operasi Pusat Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 38 individu yang merupakan pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu di sini ditahan kerana didapati positif dadah ketika serbuan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) awal pagi tadi.

Daripada jumlah itu 30 daripadanya adalah lelaki manakala lapan lagi wanita dengan lingkungan umur antara 22 hingga 61 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah berkata, kesemua mereka dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan dalam Op Pusat Hiburan bermula pukul 12.30 malam.

Ia merupakan operasi siri pertama bagi tahun 2026 susulan pindaan undang-undang yang memberi kuasa dan tindakan kepada AADK dalam membanteras aktiviti menyalahgunakan dadah di pusat hiburan.

“Jenis dadah yang dikesan ialah MDMA (metil​enadioksi​metamfetamina) atau ektasi melibatkan 30 kes dan ketamin lapan kes.

Turut ditemui ialah satu paket jus yang mengandungi campuran methapetamine, MDMA dan ketamin yang dikenal pasti amat berbahaya kerana gabungan dadah perangsang dan khayal itu boleh menyebabkan degupan jantung terlalu laju serta meningkatkan risiko overdose.

“Ketamin juga ditemui secara berasingan di dalam premis berkenaan. Anggaran harga bagi satu paket jus dadah tersebut ialah sekitar RM600 manakala ketamin dianggarkan RM180 bagi satu gram,” katanya kepada media ketika ditemui sejurus selepas operasi berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026.

Zainuddin berkata, majoriti pengunjung pusat hiburan itu terdiri daripada pelbagai kaum dengan kaum India paling ramai diikuti Melayu dan Cina serta kehadiran warga asing termasuk dari Thailand turut dikesan.

Ujarnya, pusat hiburan itu dikenal pasti antara yang terbesar kerana mempunyai kira-kira 40 bilik hiburan dengan nilai setiap satu dianggarkan antara RM2,000 hingga RM8,000 serta kapasiti pengunjung sehingga 300 orang pada satu-satu masa.

Pengguatkuasa AADK melakukan pemeriksaan ketika Operasi Pusat Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026

Katanya, ia merupakan kali pertama operasi di pusat hiburan dilaksanakan dengan fokus kepada pengesanan awal bagi membolehkan individu terlibat dibawa menjalani rawatan dan pemulihan sama ada di pusat pemulihan atau dalam komuniti sebelum menjadi penagih tegar.

Pelaksanaan Op Pusat Hiburan itu adalah selari dengan penguatkuasaan pindaan Akta 283 – Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang mana peruntukan diperluas bagi membolehkan tangkapan, rawatan dan pemulihan dilakukan bukan sahaja kepada penagih dadah dan bahan tetapi juga kepada penyalahgunaan dadah dan bahan.

Pengguatkuasa AADK memeriksa ujian air kencing semasa melakukan Operasi Pusat Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026

Mengulas penemuan jus dadah berkenaan, beliau menjelaskan, premis terbabit tidak menyediakan bahan terlarang dan hanya menawarkan pakej minuman keras manakala bahan dadah dipercayai dibawa masuk oleh pengunjung berdasarkan maklumat risikan.

Antara yang ditahan selepas didapati positif mengambil dadah dalam Operasi Pusat Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026

Zainuddin menegaskan, operasi seumpama itu akan diteruskan, khususnya terhadap pusat hiburan berisiko tinggi selari dengan pindaan undang-undang yang kini membolehkan tindakan diambil terhadap penyalah guna dadah bukan hanya penagih.

Selain penguatkuasaan, AADK turut menggiatkan pendekatan rawatan secara sukarela tahun ini dan menggalakkan individu terlibat tampil sendiri ke pejabatnya bagi menjalani rawatan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Antara yang ditahan selepas didapati positif mengambil dadah dalam Operasi Pusat Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026

Ia sekali gus membolehkan penilaian dan pemulihan dilaksanakan dengan lebih cepat.

Orang ramai turut diseru menjauhi pusat hiburan yang diketahui terlibat dengan dadah manakala ibu bapa dan komuniti diminta lebih peka terhadap penglibatan golongan muda dalam aktiviti hiburan berisiko.

Operasi itu dijalankan sepenuhnya oleh AADK tanpa penglibatan agensi lain dan merupakan yang pertama selepas pindaan undang-undang berkaitan kuasa pemeriksaan terhadap penyalah guna dadah dalam konteks hiburan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast