Gambar hiasan.

Oleh Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman

AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sering menjadi topik perdebatan dalam wacana awam. Namun, dari perspektif tadbir urus dan pembangunan institusi, AUKU kekal relevan sebagai tunjang perundangan yang memastikan kelancaran ekosistem pendidikan tinggi negara.

Perkembangan mutakhir membuktikan bahawa AUKU bukanlah suatu akta yang statik. Pindaan pada tahun 2024 telah membawa transformasi signifikan apabila kuasa tertentu dipulangkan kepada pelajar, termasuk pengurusan kewangan, penjanaan pendapatan sendiri serta kebebasan berpersatuan yang lebih luas.

Perubahan ini telah membuka ruang yang lebih kondusif kepada penglibatan aktif mahasiswa dalam pembangunan kampus dan pembentukan kepimpinan pelajar yang lebih matang. AUKU perlu difahami sebagai satu kerangka perlindungan yang menyokong, bukan menyekat.

Sebagai pentadbir, kita melihat AUKU sebagai satu ‘pagar’ yang bukan untuk mengurung, tetapi bagi memastikan ekosistem universiti kekal selamat, teratur dan kondusif untuk semua. Ia menjamin bahawa kebebasan yang diberikan disulami dengan akauntabiliti dan tanggungjawab. Inilah intipati sebenar profesionalisme yang ingin kita terapkan.

Penggemblengan tenaga dan komitmen berterusan semua pihak adalah amat penting bagi memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa di UKM. Universiti tidak menolak kebebasan bersuara, penglibatan demokratik atau idealisme mahasiswa. Namun, kebebasan tersebut perlu disandarkan kepada nilai kematangan, tanggungjawab sosial serta kefahaman terhadap peranan universiti sebagai institusi awam yang memikul kepentingan nasional.

Dalam konteks ini, AUKU yang sentiasa dikemas kini menyediakan keseimbangan yang wajar antara autonomi pelajar dan keperluan kestabilan institusi. Ekosistem yang sihat inilah yang membolehkan mahasiswa bukan sahaja berani bersuara, tetapi juga berfikir secara kritis, beretika dan berfakta. Prinsip “jelas dan berkesan” akan terus menjadi pegangan UKM dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada mahasiswa.

Sehubungan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik pendirian Menteri Pendidikan Tinggi bahawa tiada keperluan untuk memansuhkan AUKU secara keseluruhan. Pendirian ini dilihat realistik, berpaksikan kestabilan institusi dan selari dengan kelangsungan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Apa yang diperlukan bukanlah pemansuhan, sebaliknya proses penambahbaikan berterusan yang inklusif dan sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara, demi memastikan kelestarian universiti awam serta pembangunan mahasiswa yang holistik.

Sejajar dengan peranan UKM sebagai universiti rujukan, perkongsian ilmu dan amalan terbaik terus diperkukuh melalui pelbagai aktiviti penanda aras bersama agensi dan institusi lain. Justeru, UKM menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk mengekalkan serta memperkasakan AUKU melalui pindaan dan penambahbaikan yang berfokus kepada kesejahteraan pelajar, pengukuhan integriti
universiti dan jaminan kelestarian institusi pendidikan tinggi awam negara.

Dr Norinsan Kamil Othman

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast