PUTRAJAYA – Lebih 10,000 peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai MAIWP RUN 2026 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Koperasi PPZ Bhd (KoPPZ), yang bermula seawal 4.30 pagi mengikut kategori.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, program yang memasuki edisi keempat itu bukan sekadar acara sukan, tetapi ia adalah simbol komitmen berterusan MAIWP dalam membudayakan gaya hidup sihat, selain memperkukuh nilai perpaduan, disiplin dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah hari ni kita bersama-sama dalam anjuran daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ini merupakan tahun keempat MAIWP Run yang melibatkan lebih 10,000 pelari,” katanya selepas merasmikan MAIWP RUN 2026 di Dataran Putrajaya, pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Dr Zulkifli berkata, MAIWP RUN 2026 ini memberi peluang penyertaan kepada semua lapisan masyarakat termasuk 40 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
“Kita melepaskan golongan-golongan OKU sebagai satu simbolik. Kita meraikan semua segenap lapisan masyarakat. Alhamdulillah inilah yang kita ingin tunjukkan,” katanya.

Menurutnya, penyertaan MAIWP RUN 2026 hari ini bukan sahaja melibatkan umat Islam, malah turut disertai masyarakat pelbagai kaum dan warga antarabangsa, mencerminkan nilai kebersamaan yang dibawa melalui program itu.
Untuk tahun ini, MAIWP RUN 2026 menawarkan empat kategori larian dengan penyertaan menyeluruh pelbagai peringkat umur dan tahap kecergasan.
Kategori tersebut ialah 21 kilometer dengan 2,201 peserta, diikuti 10 kilometer (2,297 peserta), 5 kilometer (2,792 peserta) dan 3 kilometer (2,731 peserta).

“Yang menariknya, walaupun ini larian MAIWP tetapi yang datang orang bukan Islam, orang India, orang Cina, orang antarabangsa, semua daripada Afrika, daripada Eropah dan sebagainya.
“Ini menunjukkan kita boleh bersatu atas dasar kemanusiaan, atas dasar perpaduan. Inilah yang kita cuba bawa, mesej daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau menambah, MAIWP memainkan peranan lebih luas melangkaui pengurusan hal ehwal agama termasuk aspek sosial dan pembangunan masyarakat.
“MAIWP merupakan salah satu daripada majlis agama Islam yang terkehadapan di negara. Kita bukan sahaja menguruskan zakat, menguruskan wakaf, menguruskan hal ehwal pentadbiran dan menguruskan tentang kemajuan, tentang pendidikan dan sebagainya.
“MAIWP juga ada peranan dari sudut sosial yang mana kita juga mewujudkan satu mesej ataupun satu naratif perpaduan hormat menghormati,” katanya. – MalaysiaGazette
















