Majlis pemeteraian MoU berlangsung antara Mohammed Azman yang mewakili dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. Rajendran P. Anthony, disaksikan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Azirruan Arifin.

GEORGE TOWN – Jurang perlindungan keselamatan sosial golongan pekerja sendiri di Malaysia semakin membimbangkan apabila hanya 10 peratus daripada 3.26 juta pekerja sendiri aktif mencarum di bawah Skim LINDUNG Kendiri.

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso berkata, statistik setakat 23 Januari lalu menunjukkan seramai 325,008 pekerja sendiri mencarum, dengan Pulau Pinang menyumbang 15,021 pencarum.

Kata beliau, dalam sektor penjaja pula, hanya 38,358 individu mencarum di seluruh negara, termasuk 5,053 di Pulau Pinang, atau 13.17 peratus daripada jumlah pencarum penjaja negeri itu.

“Ramai individu bekerja sendiri melihat caruman Perkeso sebagai pilihan terakhir, sedangkan ia sepatutnya menjadi keutamaan sebagai ‘talian hayat’ mereka.

“Kos caruman hanya 64 sen sehari, tetapi perlindungannya meliputi kemalangan, hilang upaya sementara dan kekal serta pampasan bulanan kepada waris jika berlaku kematian.

“Caruman ini penting untuk memastikan ada gantian pendapatan dan perlindungan apabila berlaku musibah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial khususnya dalam sektor penjaja dan peniaga kecil di Wisma Perkeso di sini, hari ini.

Dr. Mohammed Azman (kanan) memeteraian MoU dengan MBPP yang diwakili Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. Rajendran P. Anthony, disaksikan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Azirruan Arifin.

Majlis pemeteraian MoU disempurnakan oleh beliau mewakili Perkeso dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. Rajendran P. Anthony dengan disaksikan EXCO Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye, serta Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Azirruan Arifin.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman menyifatkan tekad MBPP sebagai cerminan sebenar bahawa keselamatan sosial merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut penyelarasan erat antara agensi, demi kesejahteraan komuniti setempat.

“Kerjasama ini dijangka menjadi model kepada 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh negara. Negeri lain juga sedang dibincangkan untuk MoU serupa, manakala Pulau Pinang adalah yang pertama.

“Sepanjang tahun lalu sahaja, Perkeso menyalurkan faedah berjumlah RM31.25 juta kepada 7,693 pencarum Skim Lindung Kendiri di seluruh negara, termasuk 424 individu bekerja sendiri di Pulau Pinang yang menerima manfaat ini ketika ditimpa musibah

“Keselamatan sosial adalah tanggungjawab bersama, dan kerjasama erat antara agensi serta pihak berkuasa tempatan penting bagi memastikan golongan bekerja sendiri tidak terpinggir daripada mendapat manfaat perlindungan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast