KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia kekal stabil pada 3.6 peratus pada tahun 2025 berbanding 3.7 peratus pada tahun 2024.
Semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks pembuatan(4.5%), indeks perlombongan (0.6%) dan indeks elektrik (0.8%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP berkembang 4.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran sektor pembuatan.
Pertumbuhan IPP terus meningkat 4.8 peratus pada Disember 2025 selepas mencatatkan 4.3 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif setiap bulan selama dua tahun berturut-turut.
Peningkatan ini disokong oleh sektor pembuatan yang berkembang sebanyak 6.7 peratus(November 2025: 4.9%), disertai dengan peningkatan 3.7 peratus dalam output elektrik (November 2025: 2.7%).
Namun begitu, pengeluaran sektor perlombongan merosot 2.5 peratus pada Disember 2025 (November 2025: 2.3%).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP memulih kepada 0.2 peratus daripada negatif 1.1 peratus pada November 2025.
“Output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 7.5 peratus pada Disember 2025 berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Pengembangan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikalyang melonjak sebanyak 13.2 peratus; dan diikuti oleh pembuatan minyak &lemak daripada sayuran & haiwan pada 18.1 peratus,” katanya.
Pengembangan tahun ke tahun ini mencerminkan prestasi eksport negara yang meningkat 10.4 peratus pada Disember 2025.
Perbandingan dengan November 2025, industri berorientasikan eksport mencatatkan penurunan kecil iaitu 0.1 peratus selepas merekodkan negatif 1.8peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik terus mencatatkan prestasi memberangsangkan iaitu 5.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 4.6peratus pada November 2025.
Peningkatan industri ini diterajui terutamanya oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan; dan pembuatan logam asas, kekal kukuh masing-masing dengan mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus dan 7.0 peratus.
Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 1.0 peratus berbanding pertumbuhan positif 2.3 peratus yang direkodkan pada November 2025.
Mohd Uzir menambah, pengeluaran sektor perlombongan pada Disember 2025 menurun sebanyak 2.5 peratus dipengaruhi oleh kejatuhan dalam indeks gas asli sebanyak 7.9 peratus (November 2025: 1.0%) manakala, Indeks Minyak Mentah & Kondensat meningkat 6.4 peratus (November2025: 4.3%).
Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks perlombongan menurun secara marginal 0.9 peratus berbanding pertumbuhan negatif 3.1 peratus yang direkodkan pada November 2025.
Sementara itu, penjanaan elektrik berkembang 3.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 selepas mencatatkan peningkatan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Perbandingan dengan November 2025, Indeks Elektrik meningkat 2.0 peratus berbanding negatif 3.0 peratus pada bulan lepas. – MalaysiaGazette
















