Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA – Semua pihak diminta bertenang dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dalam isu rumah ibadat agar tidak timbul salah faham yang berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, setiap isu perlu ditangani secara rasional, teliti dan berpandukan lunas undang-undang, termasuk memberikan keyakinan penuh kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

“Di peringkat hal ehwal agama, kita ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya kekal tenang dan memberi ruang kepada proses undang-undang untuk menyelesaikan perkara ini secara adil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas
merasmikan Majlis Wacana Kehakiman dan Perundangan Syariah 2026 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di sini, hari ini.

Zulkifli ditanya wartawan mengenai langkah bagaimana komunikasi di pihak hal ehwal agama dapat meredakan isu berkaitan rumah ibadat yang menjadi semakin hangat ketika ini.

Mengulas lanjut, Zulkifi menzahirkan harapan agar suasana keharmonian dapat dikekalkan menjelang ketibaan bulan Ramadan sambil menaruh keyakinan bulan penuh keberkatan itu akan membawa kebaikan kepada negara.

“Kita juga ingin menyambut Ramadan dalam keadaan aman dan tenteram. Insya-Allah, dengan kemampuan dan autoriti yang ada, perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, keperluan pelaksanaan pelan komunikasi strategik yang menyeluruh perlu dillaksanakan bagi mengelakkan salah faham, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan rumah ibadat.

Jelas beliau, aspek komunikasi turut memainkan peranan penting apabila mahkamah serta institusi berkaitan perlu memastikan penyampaian maklumat yang jelas dan berkesan kepada masyarakat.

Menurut beliau, walaupun pelan komunikasi menyeluruh telah tersedia di peringkat hal ehwal agama, ia perlu digabungkan dengan sumber dan kerjasama agensi lain termasuk kerajaan negeri serta mahkamah syariah.

“Media memainkan peranan besar dalam menyampaikan mesej, kefahaman dan kesedaran khususnya dari sudut undang-undang Islam.

“Justeru, sinergi antara hal ehwal agama, agensi berkaitan dan mahkamah syariah di peringkat negeri amat diperlukan,” katanya.

Tambah beliau, pelan komunikasi yang tersusun dan bersepadu diyakini mampu memperluaskan penyampaian maklumat, sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast