KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya didesak untuk melepaskan jawatan.
Ini kerana, menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Danni Rais, Muhyiddin serta pucuk pimpinan parti yang lain memenangi jawatan masing-masing menerusi pemilihan berdasarkan perlembagaan parti.
Sehubungan itu semua pihak di dalam Bersatu perlu menghormati proses demokratik tersebut.
Malah, tambah beliau, Muhyiddin juga merupakan pengasas Bersatu dan meskipun pernah meluahkan hasrat untuk berundur pada 2023, namun beliau telah diyakinkan untuk terus menerajui parti.
“Ini satu pengorbanan yang cukup besar. Presiden juga tidak melanggar dasar parti, malah memberi peluang kepada semua untuk bekerjasama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Danni mengulas desakan Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq supaya Muhyiddin berundur secara terhormat kerana peranannya dilihat tidak lagi sesuai untuk membawa parti itu dan Perikatan Nasional (PN) ke hadapan.
Khaliq Mehtab turut mempersoalkan bagaimana Muhyiddin mampu menjadi pemimpin negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya kemelut dalaman Bersatu tidak dapat diselesaikan.
Sementara itu, Danni berkata, sebagai rakan peguam sama seperti Khaliq Mehtab, kes mahkamah yang sedang dihadapi Muhyiddin tidak perlu dipertikaikan dan dijadikan alasan bagi mendesak beliau berundur.
Sebaliknya, tambah beliau, adalah lebih tumpuan dan tenaga itu digunakan untuk bersuara dalam menentang ketidakadilan yang sedang dihadapi.
“Kita berdua serta ahli-ahli parti lain mengetahui bahawa keadilan sebenar akan tertegak berdasarkan fakta yang ada, dan dalam keadaan sedemikian, kita wajar memberikan sokongan penuh, bukannya menolak atau meminggirkan Presiden.
“Kes beliau sendiri menimbulkan banyak persoalan yang meragukan,” katanya.
Sementara itu, Danni turut mengimbau bagaimana beliau dan Khaliq Mehtab bersama-sama dalam MPT sebagai lantikan Presiden dengan cita-cita untuk memperkukuhkan parti menerusi solidariti semangat perjuangan.
Ujarnya, hasrat itu berjaya diterjemahkan walaupun tidak lama, dengan kerjasama mereka dalam Biro Undang-undang dan Perlembagaan Bersatu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, kekuatan sesebuah parti politik bergantung kepada perpaduan ahli dan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.
“Bersatu tentunya lebih kuat dan dipandang tinggi oleh rakyat jika terus kekal berharmoni demi masa depan parti.
“Insya-Allah Bersatu akan kembali kuat sekiranya kita semua dapat bersama. Perpaduan harus diutamakan demi masa depan Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette
















