KLUANG – Seorang remaja perempuan berharap dapat menemui ibu kandungnya yang menghilangkan diri selepas menyerahkannya kepada sebuah keluarga angkat di Kajang, Selangor, 16 tahun lalu.
Penjaganya, Fateha Mohd Salleh, 56, berkata, Nur Hazirah Abdullah, 16, yang dilahirkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 22 Mac 2010 amat rindukan ibu kandungnya yang hanya dikenali sebagai Nor Hidayah.
Selain itu, Fateha berkata, Nur Hazirah perlu menemui ibu kandungnya bagi membolehkan proses dokumentasi dilakukan secara sah sekali gus memudah remaja berkenaan dalam urusan memperoleh kad pengenalan.
Jelasnya, ketika menyerahkan bayinya kepada keluarga Faizah Mohd Salleh, 60, wanita berkenaan berjanji untuk datang semula mendapatkan anaknya selepas memperolehi pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka.
Dakwanya, Nor Hidayah menyerahkan zuriatnya itu kepada kakaknya, Faizah yang tinggal di Kajang pada Ogos 2010 sebelum menyerahkan kepadanya pada November tahun sama.
“Kakak menyerahkan Nur Hazirah kepada saya kerana masalah kesihatan, selain mempunyai anak ramai yang perlu ditanggung dan usaha mengesan ibu kandungnya beralamat di Sungai Merab, Kajang, tidak membuahkan hasil.
“Selepas menerima Nur Hazirah yang ketika itu masih bayi. Saya turut berulang kali ke alamat diberikan kakak untuk mencari wanita berkenaan di Sungai Merab namun penduduk tidak mengenalinya,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Fateha, kini Nur Hazirah sudah remaja dan bersekolah di sebuah sekolah di Kluang namun tidak mempunyai kad pengenalan kerana ketika penyerahan berlaku tiada sebarang dokumen disertakan termasuk surat daftar kelahiran.
Ujarnya, surat daftar kelahiran yang ada padanya itu didaftarkan oleh keluarga kakaknya namun tidak mempunyai maklumat lengkap menyebabkan mereka tidak dapat memproses dokumen dirinya hingga kini.
“Untuk itu, Nor Hidayah atau sesiapa sahaja yang mengenali wanita berkenaan diharap dapat menghubungi saya di talian 013 – 7175651 bagi membolehkan janji temu dilakukan dan menyelesaikan masalah remaja perempuan yang berada dibawah jagaan saya sekarang ini,” katanya.- MalaysiaGazette















