KUALA LUMPUR – Sindiket edar dadah yang disorok dalam tong gas helium berjaya dipatahkan dengan menahan empat individu termasuk tiga warga asing dalam operasi khas di Jalan Tun Razak, di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak oleh Pasukan Kuala Lumpur Strike Force sekitar jam 5.30 petang hasil maklumat risikan.
“Dalam operasi itu, dua lelaki dan wanita warga China dan seorang lelaki Hong Kong ditahan dipercayai terlibat pengedaran dadah di Kuala Lumpur.
“Hasil serbuan, lima tong gas bertulis helium disyaki mengandungi dadah jenis MDA, (3) peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dan (4) katrij disyaki dadah jenis Methamphetamin telah dirampas.
“Saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek adalah positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine dan Ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semua suspek aktif mengedarkan dadah berbentuk tong gas yang disertakan bersama belon untuk tujuan pelanggan menghisap dadah jenis MDMA di kelab malam sekitar ibu kota sejak tiga bulan lalu.
“Susulan itu, polis telah merampas 14 kotak mengandungi botol berisi gas disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 58.24 kilogram, (7) bungkusan belon dan sebuah kereta jenis Perodua.
“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun di lokasi sama dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM69,491,” jelasnya.
Semua suspek akan direman pada hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Tambah Fadil, kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan Ibu Pejabata Polis Kotinjen (IPK) Kuala Lumpur serta kerjasama daripada orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, memiliki, atau melindungi aktiviti yang berkaitan dengan dadah. – MalaysiaGazette
















