KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah milik sebuah syarikat bistro dan kafe dengan jumlah keseluruhan RM543,383.23.
Kedua-dua tertuduh, Alice Yeo@Yeo Lik Chien,49 dan Ong Jyh Syang, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka sebagai pengarah yang diamanahkan untuk menguruskan kewangan syarikat Shisha Lounge & Cafe Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah berjumlah RM79,019.72 dengan curang memindahkan wang itu ke akaun bank atas nama Ong & Partners Consultans Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Solaris Mont Kiara, No 2, Jalan Solaris di sini dalam daerah Brickfields pada 3 Disember 2024 hingga 7 Julai 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama sebagai pekerja telah melakukan pecah amanah kewangan syarikat yang sama berjumlah RM464,362.51 dengan curang memindahkan wang itu ke akaun bank yang sama.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada 4 Januari 2023 hingga 17 Oktober 2024 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun atau maksimum 14 tahun dan sebar serta denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham.
Tertuduh telah ditawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan menyerahkan pasport tertuduh ke mahkamah dan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Bagaimanapun, peguam N. Grace yang mewakili Alice Yeo, merayu jaminan dikurangkan sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 atas alasan anak guamnya mengalami masalah kemurungan dan penyakit buah pinggang.
Sementara itu, peguam Segeran yang mewakili Ong turut memohon jaminan direndahkan sebanyak RM10,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga dan menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.
Setelah mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM25,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang ditetapkan.
Mahkamah turut menetapkan pada 13 Mac depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















