KUALA LUMPUR – Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya isu rumah ibadat bukan Islam diselesaikan secara menyeluruh perlu diterjemahkan melalui dasar yang adil dan berasaskan fakta sejarah.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat, G Sivamalar berkata, isu berkenaan tidak boleh terus ditangani secara ‘ad hoc’ atau hanya diberi perhatian apabila berlaku konflik di peringkat akar umbi.
“Selama beberapa dekad, isu ini sering ditangguhkan atau diurus secara senyap. Pendekatan ini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya mewariskannya kepada pentadbiran seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, banyak rumah ibadat bukan Islam yang kini dikategorikan sebagai tidak sah sebenarnya dibina sejak era penjajahan dan awal pasca kemerdekaan dengan pengetahuan pihak pengurusan ladang.
“Kebanyakannya didirikan bagi memenuhi keperluan pekerja komuniti setempat ketika dokumentasi tanah masih tidak formal,” ujarnya.
Tambahnya, masalah undang-undang hanya timbul kemudian apabila tanah terlibat dijual, ditukar milik atau dibangunkan semula di bawah sistem pendaftaran tanah moden.
“Apabila hak milik rasmi dikeluarkan, rumah ibadat yang telah lama wujud diklasifikasikan sebagai pencerobohan. Aspek sejarah ini perlu diambil kira secara jujur,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan undang-undang.
“Pembinaan baharu tanpa kelulusan tidak boleh dipertahankan. Kedaulatan undang-undang mesti terus dihormati,” katanya.
Menurut beliau, ketegangan sering berlaku apabila penguatkuasaan dilakukan secara menyeluruh tanpa mengambil kira latar belakang setiap kes.
“Menyamakan semua rumah ibadat tanpa melihat sejarah, status tanah dan kesan kepada komuniti adalah tidak adil. Setiap kes perlu dinilai secara individu,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperkenalkan dasar yang lebih tersusun, termasuk mekanisme pengiktirafan rumah ibadat bersejarah dan laluan penyelesaian yang sah.
“Antaranya melalui pajakan jangka panjang, status guna khas, pertukaran tanah atau pemindahan secara bermaruah jika tapak asal tidak dapat dikekalkan,” katanya.
Sivamalar turut mencadangkan penubuhan badan kawal selia Rumah Ibadat Bukan Islam di peringkat Persekutuan sebagai pusat sehenti bagi pendaftaran, pengesahan tanah dan pengantaraan pertikaian.
Langkah ini, katanya, dapat memastikan proses lebih telus, tersusun dan adil kepada semua pihak.
Tambah beliau, pendekatan dialog dan mediasi perlu diutamakan, manakala penguatkuasaan hanya wajar dijadikan pilihan terakhir.
“Menjaga sejarah tidak melemahkan undang-undang, dan menegakkan undang-undang tidak bermaksud mengabaikan realiti. Penyelesaian hanya boleh dicapai melalui kepimpinan tegas, adil dan konsisten,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















