KUALA LUMPUR – Lebih banyak surau-surau terutama di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) serta pusat beli-belah akan dijadikan sebagai tempat untuk umat Islam menunaikan Solat Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha ini memperluaskan akses solat Jumaat dengan memanfaatkan surau sedia ada di kawasan lebuh raya dan pusat beli-belah yang mempunyai kapasiti sesuai.
Menurut beliau, pihaknya telah memulakan perbincangan dengan pengurusan lebuh raya serta pusat beli-belah bagi mengenal pasti surau-surau yang berpotensi dijadikan lokasi solat Jumaat, khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Dalam Wilayah Persekutuan itu sudah ada senarai, cuma kita belum boleh dedahkan lagi. Nanti kita akan umumkan lokasi yang paling bersesuaian. Apa yang penting, usaha ini sudah pun bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Pengurusan dan Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Masjid dan Surau serta Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan, di Masjid Wilayah Persekutan di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, pendekatan proaktif itu diambil bagi memastikan umat Islam, khususnya golongan lelaki dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa di mana sahaja mereka berada tanpa perlu menunggu permohonan daripada pihak surau.
Beliau mengambil contoh kejayaan pelaksanaan solat Jumaat di Surau R&R Seremban serta di pusat beli-belah IOI Mall, Putrajaya yang mencatatkan kehadiran jemaah mencecah ribuan orang.
“Apabila saya ziarah IOI Mall, memang melimpah ruah. Sekarang pihak pengurusan pusat beli-belah itu sendiri bercadang untuk membesarkan lagi surau. Ini menunjukkan jika ada usaha dan kerajaan bersikap proaktif, hasilnya sangat positif,” katanya.
Mengulas mengenai penyediaan kemudahan bagi surau-surau tersebut, Zulkifli berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bagi melihat bentuk kerjasama yang sesuai dengan pihak terlibat.
“Perincian itu insya-Allah kita akan perhalusi kerana itu perkara kecil. Yang penting sekarang adalah membolehkan seluruh umat Islam menunaikan solat Jumaat di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan dijangka akan terus diperkasakan, termasuk sepanjang bulan Ramadan ini, bagi mengimarahkan lagi aktiviti ibadah dan keagamaan. – MalaysiaGazette
















